KUALA LUMPUR, 7 Nov – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada peruntukan baharu disediakan kerajaan pada tahun ini untuk kerja-kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian Kerajaan MADANI dan Perdana Menteri.

Anwar berkata sebaliknya, kerajaan ketika ini hanya menggunakan lebihan yang diluluskan dan ditandatangani di bawah pentadbiran perdana menteri sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi tujuan itu.

Ia termasuk bagi penyediaan papan iklan (billboard) serta penerbitan berkaitan dasar-dasar kerajaan seperti Malaysia MADANI, kerangka Ekonomi MADANI dan Belanjawan 2024.

“Sejak 2020 sehingga 2022, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM700 juta untuk iklan promosi dan publisiti. Ini bermakna sebanyak RM500 juta telah dibelanjakan semasa YB Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan selebihnya oleh YB Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).

“Tetapi YB Bera tidak berbelanja setinggi itu kerana ada lebihan, sebab itu pada 2023 saya tidak ada apa-apa peruntukan selain meneruskan kontrak yang dibuat semasa YB Bera jadi Perdana Menteri. Jadi RM700 juta atau lebih kurang pada peringkat awal RM300 juta setahun bagi saya melanggar peraturan dan tatakelola selain keterlaluan,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian semasa Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat hari ini, bagi menjawab P. Prabakaran (PH-Batu) berhubung jumlah yang dibelanjakan untuk mempromosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa sejak 2020 hingga kini. 

Anwar berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Kewangan supaya meluluskan peruntukan tidak melebihi RM100 juta setahun bermula tahun depan berbanding RM300 juta setahun yang dibelanjakan kerajaan terdahulu.

Biarpun menyedari keperluan dan penjelasan mengenai dasar-dasar yang dilakukan kerajaan itu perlu, namun Anwar berkata kerajaan tidak seharusnya dibebankan dengan iklan dan publisiti tambahan untuk promosi.

“Program-program kerajaan termasuk beberapa langkah baharu seperti Ekonomi MADANI, transisi tenaga dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023 dan belanjawan tentunya perlu diterangkan kepada rakyat.

“Kita gunakan jentera serta majlis-majlis sedia ada dan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri juga diarah agar turun ke bawah. Selain program biasa, (menteri dan timbalan menteri) bantu turun menjelaskan kepada rakyat. Peruntukan yang kecil ini, akan dimanfaatkan untuk menyediakan beberapa iklan dan penerbitan yang boleh beri penjelasan lanjut.

“Saya tidak fikir ini terlalu menimbulkan masalah sekiranya kita mempunyai program jelas dan turun menyantuni rakyat, tetapi untuk berbelanja lebih, saya tidak fikir ia selaras dengan prinsip pengurusan cekap dan tatakelola yang kita sebut selama ini,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here