BALIK PULAU, 26 Nov – Kerja-kerja membaiki cerun runtuh di laluan FT006 Jalan Balik Pulau menghubungkan Teluk Bahang di sini, siap 51 hari lebih awal daripada tarikh asal 26 Dis.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek dengan peruntukan RM1.8 juta oleh Kerajaan Persekutuan itu bukan sahaja penting kepada penduduk setempat, malah turut penting kepada industri pelancong.

Beliau berkata laluan sejauh kira-kira tiga kilometer di FT006 itu perlu ditutup sepenuhnya kepada pengguna semua jenis kenderaan Julai lepas, sebelum dibuka semula sepenuhnya kepada lalu lintas pada 6 Nov.

“Kerja-kerja pembaikan cerun itu siap sebulan lebih awal dan ini akan memudahkan penduduk sekitar kerana jajaran itu bukan sahaja merupakan jalan penghubung yang penting kepada penduduk setempat malah industri pelancong kerana ramai pelancong menggunakan jalan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan hasil kerja-kerja pembaikan di laluan FT006 Jalan Balik Pulau-Teluk Bahang di sini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool.

Terdapat tiga lokasi tanah runtuh membabitkan Seksyen 40.9, 45.4 dan 46.8 yang berpunca daripada hujan lebat berterusan dengan taburan hujan pada hari kejadian iaitu 1 Julai lalu mencapai 176 milimeter (mm) melebihi kadar biasa 60mm.

Kerja baik pulih di Seksyen 45.4 dan 46.8 itu menggunakan kaedah “tie-back wall“, serta pembinaan tembok vertikal yang dipaku pada dinding bukit, manakala kerja-kerja pembinaan sistem saliran menggunakan jenis “Cascade and Toe Drain“.

Jalan FT006 itu merupakan penghubung yang penting kepada industri pelancongan kerana terdapat banyak kebun durian di kawasan berkenaan yang sering menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Sementara itu, Nanta berkata terdapat beberapa lokasi di jalan berkenaan yang perlu dipantau kerana dilihat berisiko berlaku runtuhan, dan pihaknya akan melaksanakan langkah-langkah pencegahan di kawasan berkenaan.

“Dari segi implikasi ekonomi ia adalah keperluan penduduk setempat dan juga pelancong, jadi perlu buat dengan segera dan kita sudah setuju untuk peruntukkan tahun hadapan cuma kos belum tahu lagi lagi kerana perlu buat penilaian terperinci ternasuk apakah kerja-kerja kena buat nanti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here