KUALA LUMPUR, 19 Feb — Datuk Mutang Tagal yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu hari ini, bertekad untuk meneruskan agenda transformasi Parlimen yang dirancang kerajaan. 

Mutang berkata pengalaman dan pengetahuannya sebagai pengamal undang-undang akan digunakan sepenuhnya bagi memperkasakan serta memartabatkan kedudukan Dewan Negara dan Parlimen sebagai badan legislatif di negara ini seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya akan meneruskan agenda transformasi yang telah dirancang termasuk pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan-pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, menambah baik Peraturan Mesyuarat ataupun Standing Orders dan juga pewujudan Kod Etika Ahli Parlimen,” katanya ketika berucap selepas mengangkat sumpah jawatan itu di Bangunan Parlimen, di sini.

Menyentuh mengenai peranan Dewan Negara, Mutang berkata Dewan Negara sebagai the upper house harus sentiasa mengekalkan kredibiliti dan prestij dalam perbahasan sesebuah rang undang-undang yang telah diluluskan di Dewan Rakyat.

Justeru, beliau menyeru setiap Ahli Dewan Negara supaya berbahas dengan sebenarnya, secara konstruktif dan tegas menyatakan pendirian berlandaskan bidang kepakaran masing-masing, walaupun pendirian itu ada kalanya tidak selari dengan keputusan di Dewan Rakyat.

Bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu turut mengingatkan bahawa fungsi dan tanggungjawab Dewan Negara sebagai mekanisme semak dan imbang bukan sahaja kepada badan eksekutif tetapi juga kepada Dewan Rakyat.

“Saya percaya setiap Ahli Dewan Negara yang membawa kredibiliti profesional masing-masing akan terus memastikan setiap undang-undang dibentang dan dibahas untuk kelulusan Dewan (Negara) yang mulia ini bukan sahaja memberi manfaat dan melindungi hak semua rakyat Malaysia, malah ia juga telah mengambil kira semua implikasi pelaksanaan,” katanya.

Dalam ucapannya, Mutang turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang memperkenankan pelantikannya sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa 15 Feb lepas hingga 24 Feb 2027, di samping mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah mencadangkannya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20.

Mutang juga menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana meletakkan kepercayaan kepada dirinya untuk mengisi jawatan berkenaan yang membawa tanggungjawab besar dalam pelaksanaan sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar atas pelantikannya sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak serta penghargaan atas sumbangan Wan Junaidi dalam menggerakkan agenda transformasi Parlimen di negara ini memegang jawatan Yang Dipertua Dewan Negara ke-19.

“Adalah menjadi satu penghormatan kepada saya untuk meneruskan legasi yang telah beliau gerakkan ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here