SHAH ALAM, 4 Mac – Pemerkasaan transformasi digital menerusi liputan 5G dijangka mewujudkan penambahan 750,000 pekerjaan baharu di Selangor menjelang 2030.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata transformasi itu juga dijangka mewujudkan potensi peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kira-kira RM150 bilion menjelang 2030.

Beliau berkata pelaksanaan rangkaian 5G juga merupakan satu daripada tunjang penting dalam merealisasikan aspirasi kerajaan negeri mencapai visi Projek Wilayah Pembangunan Serantau Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) di daerah Kuala Langat dan Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) seperti terkandung dalam kerangka Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Antara projek yang akan dijayakan melalui pelaksanaan rangkaian 5G di bawah IDRISS adalah NCT Smart Industrial Park, Sepang, Sepang Gold Coast, Sepang 2000, Selangor Business Capital dan Guocoland Emerald Sepang,” katanya.

Beliau menjawab soalan Chua Wei Kiat (PH-Rawang) yang ingin tahu bagaimana rangkaian 5G membantu pembangunan di Selangor semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini. 

Mohammad Fahmi berkata sehingga 31 Dis tahun lepas, peratusan liputan 5G di kawasan berpenduduk di Selangor mencapai 95.9 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here