KUALA LUMPUR, 12 Mac – Kementerian Kewangan mengambil kira mandat penubuhan badan berkanun, pengurusan risiko pelaburan dan kepakaran pelaburan badan berkanun tersebut dalam membuat pertimbangan berhubung jenis pelaburan yang dibenarkan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata beberapa badan berkanun menetapkan keperluan untuk rujuk kepada kementerian untuk kelulusan berhubung pelaburan.

Katanya Badan Berkanun Persekutuan (BBP) yang bertaraf syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji mempunyai mandat penubuhan dengan aktiviti teras untuk membuat pelaburan dan mempunyai pasukan pegawai yang memiliki kepakaran dalam menguruskan portfolio pelaburan.

“Dengan itu, secara amnya, GLIC dibenarkan untuk melabur dalam kelas pelaburan yang lebih luas termasuk opsyen, ekuiti swasta dan pelaburan di luar negara,” katanya pada sesi soal jawab di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang ingin tahu sama ada badan berkanun atau badan bukan berkanun kerajaan diizinkan melabur dalam bentuk opsyen, ekuiti swasta, forex dan sebagainya.

Namun begitu, Amir Hamzah berkata terdapat kawalan risiko dan tatakelola bagi mengurangkan risiko kerugian pelaburan.

Sebagai contoh, katanya KWAP memerlukan kelulusan Menteri Kewangan untuk melantik ahli panel pelaburan dan membuat pelaburan dalam aset seperti bangunan dan ekuiti persendirian dan Kementerian Kewangan juga mengehadkan peratusan pelaburan yang boleh dilaburkan di luar negara.

“Bagi GLIC yang mempunyai kepakaran tersebut, mereka telah memberi tumpuan kepada pelaburan yang boleh mendatangkan pulangan yang tinggi kepada agensi berkenaan seperti ekuiti, pasaran wang, debentur dan sekuriti,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berhubung kesediaan kementerian untuk menggubal akta baharu atau sedia ada bagi mengawal selia tadbir urus badan berkanun di bawah kementerian, Amir Hamzah berkata MoF sentiasa memantau trend sekiranya perlu ditambah baik.

“Kita akan cuba berbincang untuk menambah baik dan apa yang penting, panel pelaburan merupakan satu kelompok yang penting dan kita letak orang yang berkemampuan terhadap pelaburan yang dilakukan oleh syarikat.

“Kita berharap mereka yang ada tugas kehakiman ini akan menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here