BUTTERWORTH, 21 Mei – Kerajaan Pulau Pinang telah meluluskan penubuhan Pusat Logistik Kemanusiaan Bencana atau depoh sebagai usaha memastikan berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang bencana industri di negeri ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata depoh berkenaan bakal dibangunkan di atas tanah milik kerajaan di kawasan Seberang Perai Tengah, namun perinciannya akan dimaklumkan kemudian.

Selain itu, beliau berkata Unit Pengurusan Bencana yang diletakkan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang (PSUKPP) juga berperanan dalam mengintegrasikan pergerakan bantuan ketika berlaku sebarang bencana di negeri ini.

“Unit ini dibahagikan kepada empat pecahan merangkumi unit Data dan Perancangan, Pentadbiran dan Kewangan, Jaringan Luar dan Kapasiti serta Operasi dan Pascabencana,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Latihan Simulasi Bencana Industri Pulau Pinang 2024 di Terminal Kargo Pukal Perai di sini hari ini.

Menurut Chow Pulau Pinang merupakan negeri perindustrian dengan pembangunan utama dipacu oleh sektor ekonomi berkaitan, justeru kerajaan negeri akan memastikan sektor perindustrian dapat beroperasi dengan risiko minimum dan ketersediaan awal bagi mengelak berlaku sebarang perkara tidak diingini.

Beliau berkata latihan simulasi menghadapi bencana industri penting dalam memastikan kesiapsiagaan pasukan keselamatan selain menguji dan memantapkan peranan agensi serta setiap Pasukan Tindakbalas Kecemasan (ERT) pemain industri, melibatkan kawasan Pepasangan Bahaya Besar di Pulau Pinang.

Pengurusan bencana juga, katanya hendaklah dikendalikan secara bersepadu oleh semua agensi supaya tindakan pada setiap peringkat menjadi lebih efisien dan efektif.

“Komunikasi krisis di setiap lapisan pengurusan bencana perlu dipertingkatkan bukan hanya untuk menjelaskan tanggapan negatif dalam kalangan masyarakat yang boleh menjejaskan imej kerajaan, malah memastikan setiap pasukan dalam pengurusan bencana memahami dengan jelas peranan dan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here