BEIJING, 31 Mei – China bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengecualian visa untuk pelancong dari Malaysia daripada 15 ke 30 hari, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengumumkan perkara itu semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China, di sini hari ini.

“Semasa pertemuan saya dengan Perdana Menteri Li Qiang semalam, salah satu perkara yang dibangkitkan ialah melanjutkan tempoh pelancong masuk Malaysia kita ke China (pengecualian visa) daripada 15 kepada 30 hari, yang Malaysia telah lakukan dengan memberikan pelancong China visa percuma selama 30 hari.

“Saya ingin umumkan bahawa kedua-dua negara telah bersetuju dan pelaksanaannya ialah selepas perjanjiannya ditandatangani,” katanya.

Majlis yang berlangsung di Diaoyutai Guesthouse itu, turut di hadiri Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang.

Semalam, Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata Ahmad Zahid telah mencadangkan perkara itu semasa kunjungan hormatnya ke atas Perdana Menteri China Li Qiang dan mendapat maklum balas positif daripada China.

China telah melanjutkan dasar bebas visa untuk lawatan jangka pendek ke republik itu untuk Malaysia dan 11 negara lain sehingga akhir 2025. Pelanjutan itu bertujuan untuk meningkatkan pertukaran antara warga China dan warga asing.

November lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian visa 30 hari untuk pelancong dari China dan India mulai 1 Dis tahun yang sama.

Sementara itu mengulas mengenai Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China tahun ini, Ahmad Zahid percaya bahawa kedua-dua negara boleh bekerjsama untuk merealisasikan konsep masing-masing iaitu Malaysia MADANI dan Community Shared Future (CSF), untuk manfaat bersama rakyat.

“Malaysia MADANI, yang diperkenalkan pada Januari 2023 berkongsi nilai dan atribut sama seperti CSF dicadangkan Presiden China Xi Jinping pada 2013, menyokong inovasi, keprihatinan, belas kasihan, keterangkuman serta saling menghormati,” tambahnya.

Ahmad Zahir berkata kerjasama Malaysia-China juga kini telah melangkaui politik dan ekonomi dengan meliputi pendidikan, budaya, pelancongan dan pertukaran rakyat dengan rakyat dan mengukuhkan ikatan antara masyarakat.

“Bagaimanapun, masih terdapat peluang bagi kedua-dua pihak untuk mengukuhkan dan mengembangkan lagi perhubungan yang sangat baik ini,” katanya.

Ahmad Zahid dalam rangka lawatan rasmi pertama beliau ke China sejak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022 dan lawatan sejak 22 Mei hingga esok, adalah atas jemputan Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam wawancara bersama Bernama Radio berkata Malaysia merancang meningkatkan penawaran guna tenaga profesional untuk memenuhi keperluan syarikat China, yang berhasrat melabur di negara ini.

Beliau berkata bagi tujuan itu, bidang Pendidikan dan Latihan dan Teknikal Vokasional (TVET) bagi rakyat tempatan akan ditingkatkan seiring dengan kepesatan dan kecanggihan produk berteknologi China, seperti industri automotif dan telekomunikasi.

“Saya lihat banyak peluang umpamanya dalam bidang infrastruktur dan beberapa bidang lain yang harus kita terokai, dan memandangkan China sangat berminat melabur di Malaysia, ia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan tetapi juga perkongsian ilmu dan teknologi baharu kepada negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata selain itu, aspek kerjasama dengan China juga akan ditingkatkan menerusi pengeluaran produk halal termasuk makanan, farmaseutikal dan kosmetik dengan Halal Development Corporation Berhad (HDC) bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan meneroka pasaran baharu di negara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here