SEOUL, 11 Jun – Korea Selatan mendakwa tentera Korea Utara melintasi sempadan antara kedua-dua negara pada Ahad.

Bagaimanapun, tentera Korea Utara segera berundur ke seberang sempadan selepas tentera kami melepaskan tembakan amaran, kata Ketua Staf Bersama Seoul (JCS) pada Selasa.

Dalam kejadian itu, kira-kira 20 askar Korea Utara telah memasuki sempadan Korea Selatan buat seketika, lapor Agensi Berita Yonhap.

JCS menganggap bahawa askar-askar tersebut melintasi sempadan yang terletak di dalam zon bebas tentera (DMZ) secara tidak sengaja ketika menjalankan tugas, namun pihaknya akan terus memantau rapi sebarang aktiviti di seberang sempadan.

Ketegangan kembali meningkat di sepanjang zon bebas tentera dan sempadan maritim yang memisahkan kedua-dua negara, yang secara rasmi berperang sejak konflik pada 1950-an.

Seoul mendakwa Korea Utara sekali lagi menerbangkan belon yang membawa sampah sarap ke seberang sempadan pada hujung minggu lalu.

Tindakan Korea Utara itu merupakan reaksi terhadap aktiviti serupa oleh aktivis Korea Selatan yang berulang kali menghantar ribuan risalah dan bahan propaganda lain ke seberang sempadan dengan menggunakan belon gas besar.

Kerajaan Korea Selatan baru-baru ini memutuskan untuk menggantung perjanjian ketenteraan 2018 dengan Korea Utara dalam menghadapi ketegangan terbaharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here