KOTA KINABALU, 9 Julai – Sebanyak 15 Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dijangka dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata kerajaan komited untuk memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut perancangan awal iaitu melantik kontraktor untuk kesemua baki 19 pakej kerja pada tahun ini. 

“Empat kontraktor telah dilantik dan telah memulakan pembinaan sejak April tahun ini manakala 15 pakej kerja bagi Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1B kini dalam proses penilaian akhir tender prakelayakan terbuka. Pakej ini sudah siap dinilai tender dan telah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan. 

“Lembaga Perolehan Kementerian Kerja Raya telah bermesyuarat pada 3 Julai lepas dan seterusnya akan mengemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk memuktamadkan keputusan. SST kepada kontraktor dijangka dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini,” katanya pada Persidangan DUN Sabah hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) yang ingin tahu tindakan Kerajaan Sabah untuk mempercepat proses tender bagi projek Pan Borneo seperti yang dikatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penutup Pesta Kaamatan 2024 Peringkat Negeri Sabah, Mei lepas.

Shahelmey berkata secara keseluruhan daripada 35 jumlah pakej bagi Projek Pan Borneo Fasa 1A dan 1B, sebanyak empat pakej sudah siap dibina, 15 pakej dalam peringkat pembinaan manakala 16 pakej dalam peringkat perolehan.

Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan RM26.3 bilion bagi menyiapkan 35 pakej kerja Pan Borneo Fasa 1 dengan kos pembinaan secara keseluruhannya dianggar sebanyak RM18.5 bilion. 

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang ingin tahu sama ada proses pelantikan kontraktor Lebuhraya Pan Borneo akan diurus secara tender terbuka secara keseluruhan, Shahelmey berkata kaedah prakelayakan yang telah dilaksanakan adalah berdasarkan tender terbuka. 

“Iklan telah dibuat dan seluruh syarikat kontraktor yang menepati syarat-syarat mengikuti prakelayakan di dalam Malaysia boleh menyertainya. Untuk makluman, sebanyak 194 syarikat telah menyertai sesi prakelayakan terbabit antaranya syarikat-syarikat dari Sabah, Semenanjung dan Sarawak. 

“Daripada 194 syarikat yang telah menyertai prakelayakan secara terbuka itu, keputusannya adalah sebanyak 113 syarikat telah layak mengikuti tender. Prakelayakan terbahagi kepada dua peringkat iaitu prakelayakan untuk dinilai kriteria-kriteria tertentu seperti keupayaan kewangan, teknikal dan juga kebolehan sumber manusia,” katanya.

Beliau berkata daripada 113 syarikat itu, sebanyak 59 syarikat adalah dari Sabah, tujuh dari Sarawak manakala 47 dari Semenanjung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here