KUALA LUMPUR, 18 Julai – Malaysia berharap dapat meningkatkan peluang kerjasama ekonomi melalui platform BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) sebagai alternatif mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI), pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah semakin giat memperkenalkan pelbagai dasar dan peraturan unilateral perdagangan baharu yang memberi cabaran kepada negara-negara membangun seperti Malaysia untuk mematuhinya.

Kerajaan sedar kebergantungan perdagangan kepada pasaran tradisional akan memberi risiko kepada pembangunan ekonomi untuk jangka masa panjang.

Justeru, bagi merealisasikan aspirasi pembangunan ekonomi mampan, Malaysia bukan sahaja perlu mengeratkan kerjasama ekonomi dengan negara-negara dagang sedia ada tetapi perlu menembusi pasaran baharu berimpak tinggi selain menjalin kerjasama ekonomi dengan rakan-rakan dagang bukan tradisional.

“Bagaimanapun, kerajaan akan sentiasa memastikan dasar neutral dan ‘tidak bersekutu’ dengan mana-mana kuasa ekonomi tidak terjejas serta hubungan perdagangan dan pelaburan baik dengan rakan-rakan dagang tradisional seperti AS, Kesatuan Eropah dan United Kingdom dapat diteruskan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Rabu.

MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai pendirian Malaysia terhadap BRICS bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran Amerika Syarikat dan Eropah.

Pada 13 Jun 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi wawancara dengan media China Guancha mengumumkan pendirian Malaysia untuk menyertai BRICS.

Dengan bilangan penduduk BRICS yang secara kumulatifnya mencecah 3.54 bilion dan simpanan bekalan bahan mentah yang besar serta kekuatan ekonomi berjumlah US$26.6 trilion iaitu 26.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, blok ekonomi BRICS sebenarnya pasaran mega baharu yang wajar ditembusi untuk pembangunan dan peningkatan ekonomi negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here