NEW DELHI, 20 Ogos – India menggesa pembaharuan dan pemodenan kerjasama dengan negara-negara ASEAN, menekankan keperluan untuk menyesuaikan kerjasama itu bagi menangani cabaran masa kini dengan lebih berkesan.

Menteri Hal Ehwal Luar India, Dr S Jaishankar berkata beberapa bidang utama memerlukan penilaian semula termasuk kesalinghubungan fizikal, grid kuasa dan kerjasama digital, agar seiring dengan perubahan landskap global.

“Sedekad lalu, isu seperti keselamatan maritim dan iklim tidak begitu diberi perhatian. Kini, kami membincangkan isu-isu ini dengan beberapa negara ASEAN, dan esok, kami akan mengadakan perbincangan serupa dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dalam lawatan rasmi ke sini,” katanya kepada media pada Isnin.

Pandangan ini dikongsi semasa sesi bersama wakil media dari negara-negara Indo-Pasifik yang melawat India di bawah program Lawatan Suai Kenal Dialog Keselamatan Quadrilateral (QUAD), anjuran Kementerian Hal Ehwal Luar India.

QUAD merupakan rangka kerja plurilateral yang terdiri daripada India, Australia, Jepun, dan Amerika Syarikat (AS).

Negara-negara QUAD berkongsi komitmen untuk mengekalkan rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka, makmur dan aman, berdasarkan prinsip menghormati kedaulatan, integriti wilayah, undang-undang antarabangsa dan perintah antarabangsa berasaskan peraturan.

Jaishankar turut menekankan kepentingan untuk sentiasa menambah rakan kongsi, memperbaharui kerjasama dan terus berusaha melakukan lebih banyak perkara, meskipun cabaran dan zaman berubah.

Berkongsi nada yang sama, beliau menekankan kepentingan ASEAN sebagai platform kolektif yang penting, bukan sahaja untuk India tetapi di peringkat global, kerana ia menyatukan pelbagai negara dari seluruh dunia.

Beliau turut menyebut mengenai usaha India untuk memanfaatkan platform seperti ASEAN, termasuk inisiatif seperti Inisiatif Lautan Indo-Pasifik.

Malaysia yang kali terakhir memegang jawatan selaku Pengerusi ASEAN pada 2015 akan mengambil alih jawatan itu tahun depan, selepas Laos.

Semasa sesi berkenaan, menteri itu turut menyentuh mengenai peranan penting QUAD yang semakin berkembang di rantau Indo-Pasifik, dengan agenda meluas meliputi keselamatan maritim, rantaian bekalan yang berdaya tahan, tindakan iklim, kerjasama teknologi dan tindak balas bencana yang pantas.

Dalam konteks lain, Jaishankar menolak sebarang anggapan bahawa QUAD akan dibayangi oleh AUKUS, menekankan bahawa kedua-duanya adalah entiti yang berbeza sama sekali.

“Mereka adalah perkara yang berbeza sepenuhnya yang bertujuan untuk matlamat yang berbeza dengan pemain yang berbeza,” katanya.

AUKUS adalah pakatan kerjasama keselamatan antara United Kingdom, AS dan Australia, yang dipersetujui pada 2021, bertujuan memperkukuh keupayaan setiap kerajaan untuk menyokong kepentingan keselamatan dan pertahanan, dengan berpandukan kepada hubungan dua hala yang lama dan berterusan, menurut Jabatan Pertahanan AS.

Seramai 23 wakil media termasuk wartawan dari Malaysia, Filipina, Thailand, Singapura, Laos, Afrika Selatan, Solomon dan Tuvalu menyertai lawatan ini, meliputi bandar-bandar utama New Delhi, Mumbai, dan Bengaluru.

Ia bertujuan bukan sahaja untuk mempamerkan warisan budaya India yang kaya, tetapi juga untuk memperkenalkan para delegasi kepada perkembangan penting dan inisiatif yang membentuk negara itu pada abad ke-21.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here