PHNOM PENH, 30 Ogos – Kemboja dan Korea Selatan pada Khamis melancarkan pembayaran kod QR rentas sempadan, membolehkan rakyat kedua-dua negara mengimbas kod QR untuk membuat pembayaran.

Gabenor Bank Negara Kemboja (NBC) Chea Serey pada majlis pelancaran itu berkata di bawah projek berkenaan, rakyat kedua-dua negara akan dapat membuat pembayaran mereka melalui Bakong KHQR Kemboja dan aplikasi perbankan mudah alih Jeonbuk Bank Korea Selatan.

“Selepas majlis pelancaran ini, pelawat dari Republik Korea, khususnya pengguna aplikasi mudah alih Jeonbuk Bank, akan dapat mengguna dan mengimbas kod QR di Kemboja untuk melengkapkan pembayaran mereka,” katanya pada majlis pelancaran yang diadakan di ibu negara di sini.

“Dalam fasa seterusnya, penduduk Kemboja akan dapat menggunakan dompet mudah alih tempatan di kedai yang menerima kod QR Jeonbuk Bank,” tambahnya.

Serey yakin memperkenalkan pembayaran kod QR rentas sempadan antara Kemboja dan Korea Selatan akan meningkatkan kerjasama kewangan dengan memanfaatkan teknologi untuk memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

“Selain itu, kerjasama ini akan menyumbang dengan ketara kepada promosi aktiviti perdagangan, pelancongan dan kewangan,” katanya.

Gabenor berkata satu daripada keutamaan utama NBC ialah meningkatkan dan memodenkan pembayaran rentas sempadan.

Selain Korea Selatan, Kemboja berjaya melancarkan kerjasama pembayaran kod QR rentas sempadan dua hala dengan empat negara rakan kongsi lain, iaitu Thailand, Vietnam, Laos dan China, katanya.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here