SINGAPURA, 6 Sept – Singapura dan India bersetuju pada Khamis untuk meningkatkan hubungan mereka kepada Perkongsian Strategik Komprehensif semasa lawatan rasmi Perdana Menteri India Narendra Modi ke republik ini.

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Modi bersetuju untuk menihgkatkan hubungan dua hala itu daripada Perkongsian Strategik sedia ada, menyasarkan untuk memperdalam dan meluaskan kerjasama dua hala bersempena ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun depan.

“Kedua-dua Perdana Menteri maklum mengenai perkongsian sejarah ndia dan Singapura, tradisi persahabatan yang berpanjangan berasaskan kepercayaan dan saling menghormati serta kerjasama luas dalam pelbagai bidang.

Mereka menyemak semula dan berpuas hati dengan kemajuan dicapai dalam hubungan dua hala, yang telah berkembang menjadi sebuah kerjasama dalam segala segi termasuk dalam bidang politik, ekonomi, keselamatan, teknologi, pendidikan, hubungan antara rakyat dan kebudayaan,” menurut kenyataan bersama itu.

Wong dan Modi juga membincangkan potensi kerjasama dalam bidang baharu dan inovatif, termasuk perdagangan tenaga elektrik rentas sempadan dan rantaian bekalan ammonia hijau, sebuah program bersama utama untuk latihan kemahiran, meningkatkan aliran data rentas sempadan melalui Gujarat International Finance dan Tec-City (GIFT City), serta kerjasama dalam pembangunan taman perindustrian di India.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin menyeru semua pihak dalam pertikaian Laut China Selatan agar menyelesaikan pertikaian mereka melalui cara damai tanpa ancaman atau penggunaan kekerasan dan mengamalkan kawalan diri dalam tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan di rantau ini.

Mereka turut menyuarakan harapan agar Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang substantif dan berkesan dapat dimuktamadkan lebih awal, selaras dengan undang-undang antarabangsa, terutamanya Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

Selain itu, Modi dan Wong mengulangi komitmen mereka untuk bekerjasama mempromosikan keamanan dan kestabilan di seluruh rantau Indo-Pasifik, menggariskan kepentingan sebuah rantau yang terbuka, terangkum, berasaskan peraturan dan berdaya tahan.

Mereka juga bersetuju dengan pemusatan ASEAN dalam seni bina serantau yang berkembang untuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau selain daripada menyokong pengukuhan lagi Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-India yang melengkapi hubungan dua hala India dengan negara anggotanya.

Modi, yang tiba di sini untuk lawatan rasmi kelimanya pada Rabu, diberikan sambutan rasmi di Bangunan Parlimen dan mengadakan pertemuan dua hala dengan Wong pada Khamis.

Kedua-dua Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran empat Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan dengan kerajaan dalam bidang kerjasama digital, pendidikan dan pembangunan kemahiran, kesihatan dan perubatan, serta kerjasama ekosistem semikonduktor.

Modi juga melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam dan bertemu Menteri Kanan Lee Hsien Loong dan Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong.

Beliau dijangka berlepas dari Singapura Khamis malam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here