KUALA LUMPUR, 24 Sept – Malaysia telah mengambil langkah signifikan dalam menangani beban global penyakit paru-paru dengan mengetuai penyerahan bersejarah Resolusi Kesihatan Paru-Paru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Kongres Kanser Sedunia yang diadakan di Geneva, Switzerland baru-baru ini. 

Resolusi itu, yang disasarkan untuk diterima pakai sebagai agenda kesihatan global di Perhimpunan Kesihatan Sedunia dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2025, bermatlamat untuk memberikan keutamaan kepada kesihatan paru-paru pada platform antarabangsa.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif Malaysia mengemukakan Resolusi Kesihatan Paru-Paru WHO merupakan suatu seruan jelas kepada semua negara untuk mengutamakan strategi bersepadu dan komprehensif bagi menangani beban penyakit paru-paru secara langsung.

“Dengan menyerahkan resolusi ini kepada WHO, kami menyasarkan untuk memangkin pergerakan di seluruh dunia yang akan menyelamatkan jutaan nyawa serta meringankan beban sosial dan ekonomi yang disebabkan oleh penyakit yang boleh dicegah ini,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama. 

Penyakit paru-paru termasuk kanser paru-paru dan penyakit pernafasan yang lain, telah menjadi isu kesihatan global yang mendesak, terutamanya di negara membangun yang menanggung beban penyakit berkenaan. Menurut WHO, lebih 85 peratus kematian pramatang akibat penyakit tidak berjangkit (NCD) berlaku dalam persekitaran yang mempunyai sumber terhad.

Di Malaysia, kanser paru-paru kekal sebagai antara punca utama kematian berkaitan kanser. Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat peningkatan kes akibat kelaziman merokok yang tinggi serta pencemaran alam sekitar. Kesan kewangan NCD di Malaysia adalah ketara, dengan anggaran impak tahunan berbilion dolar dalam kos penjagaan kesihatan secara langsung dan kehilangan produktiviti.

Bagi menangani isu itu, Malaysia telah melaksanakan beberapa inisiatif bertujuan membendung perbuatan merokok, meningkatkan kualiti udara dan menggalakkan gaya hidup sihat. Usaha ini termasuk Pelan Strategik Kebangsaan untuk Kawalan Kanser (2021-2025) yang memfokuskan pada pengukuhan perkhidmatan pencegahan, pengesanan awal dan rawatan di seluruh negara.

Malaysia juga sedang membangunkan Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Paru-Paru (2025–2030) dan Pelan Hala Tuju Inisiatif Kesihatan Paru-Paru. Strategi ini memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan hasil kesihatan paru-paru dan menambah baik daya tahan penjagaan kesihatan.

“Dengan melabur dalam perubatan ketepatan, kecerdasan buatan dan teleperubatan, kami meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam memerangi penyakit paru-paru,” kata Dr Dzulkefly.

“Teknologi termaju ini akan meningkatkan keupayaan pemeriksaan kami, membolehkan pengesanan awal dan menyokong pembangunan pelan rawatan yang diperibadikan, kesemuanya penting untuk meningkatkan kesihatan paru-paru dan menyelamatkan nyawa,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here