BANGKOK, 25 Sept – Thailand sedang berusaha mencapai status Tier 1 dalam pencegahan pemerdagangan manusia dengan pelancaran Pusat Pengenalan dan Rujukan Nasional untuk Mangsa Pemerdagangan Manusia.

Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Jeneral Polis Diraja Thailand, Pol Lt Jen Prachuap Wongsuk, yakin bahawa Pusat Pengenalan dan Rujukan Mangsa Thailand akan memainkan peranan penting dalam melaksanakan pelan tindakan kerajaan untuk mencegah dan memerangi pemerdagangan manusia.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan kredibiliti Thailand dengan negara lain dan organisasi antarabangsa.

“Kerajaan Thailand bertekad untuk menaikkan status Thailand dalam pencegahan penyeludupan manusia daripada Tier 2 kepada Tier 1,” katanya dalam kenyataan selepas perasmian pusat itu oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Tenaga Thailand Pirapan Salirathavibhaga, di sini pada Selasa.

Prachuap, yang juga mengetuai Pusat Perlindungan Kanak-kanak, Wanita, dan Keluarga terhadap Pemerdagangan Manusia dan Perikanan, berkata kerajaan telah lama memberi keutamaan kepada pencegahan dan pembanterasan pemerdagangan manusia, menjadikannya agenda kebangsaan.

Beliau menekankan kemajuan penting yang dicapai pada 8 April 2022, apabila Jawatankuasa Penyelaras dan Penyeliaan Pencegahan dan Pembanterasan Pemerdagangan Manusia meluluskan Pelan Tindakan Mekanisme Rujukan Nasional, Pengurusan Kes dan Bantuan untuk Mangsa Pemerdagangan Manusia dan Buruh Paksa.

“Pelan tindakan ini menggunakan pendekatan berpusatkan mangsa dan selaras dengan Mekanisme Rujukan Nasional (NRM) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Matlamatnya adalah untuk meningkatkan usaha pencegahan pemerdagangan manusia Thailand selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan standard antarabangsa,” katanya.

Prachuap berkata NRM direka untuk memudahkan kerjasama antara agensi berkaitan, membolehkan mereka berkongsi maklumat dan merujuk mangsa kepada perkhidmatan bantuan.

Mekanisme itu termasuk tempoh refleksi, membolehkan mangsa yang disyaki pemerdagangan manusia untuk berehat dan merenung pengalaman mereka dalam persekitaran yang menyokong, memudahkan perbincangan bermakna dengan pegawai.

Di Bangkok dan wilayah tengah, Prachuap berkata Polis Diraja Thailand, bersama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia serta Kementerian Buruh, bertanggungjawab untuk penentuan lokasi dan pengurusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here