PUTRAJAYA, 28 Sept – Malaysia telah dipilih semula sebagai Ahli Governing Board Asian Organization of Supreme Audit Institutions (ASOSAI) bagi penggal 2024 hingga 2027.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan pemilihan itu berlangsung semasa Perhimpunan ASOSAI ke-16 yang diadakan di New Delhi, India pada 27 September.

“Malaysia berjaya memperoleh satu daripada tujuh kerusi yang dipertandingkan dalam Governing Board ASOSAI. Dengan 34 undi, Malaysia menerima undian tertinggi daripada 48 Ahli ASOSAI,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar yang dikenali sebagai Wisma Putra berkata sebagai anggota pengasas ASOSAI, Malaysia terus komited untuk meningkatkan kualiti dan impak dalam bidang pengauditan sektor awam di peringkat serantau dan global.

Kementerian itu berkata Malaysia diwakili oleh Jabatan Audit Negara dalam ASOSAI.

Menurut Wisma Putra, negara lain yang dipilih sebagai Ahli Governing Board ASOSAI bagi penggal yang sama adalah Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Azerbaijan, Kazakhstan, Pakistan dan Filipina.

Tambahnya, ASOSAI bertujuan untuk menggalakkan persefahaman dan kerjasama antara negara anggota dalam bidang pengauditan sektor awam. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here