JAKARTA, 28 Sept – Pembaharuan Perjanjian Swap Mata Wang Tempatan Dua Hala (LCBSA) antara Malaysia dan Indonesia membolehkan pertukaran mata wang tempatan antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) bernilai hingga RM24 bilion atau IDR82 trilion untuk tempoh lima tahun.

Kedua-dua bank pusat itu telah memeterai pembaharuan LCBSA semalam, susulan perjanjian pertama yang dimeterai pada 2019 dan seterusnya diperbaharui pada 2022.

Menerusi kenyataan bersama, BNM dan BI menjelaskan LCBSA itu mencerminkan kerjasama perbankan pusat bagi memperkukuh daya tahan kedua-dua negara, dan pada masa yang sama menggalakkan penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dan pelaburan.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata memandangkan hubungan perdagangan dan kewangan yang semakin erat antara Malaysia dengan Indonesia, pihak BNM berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan BI melalui pembaharuan LCBSA.

Beliau berkata LCBSA itu menyokong Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF) yang terus menjadi penggerak utama bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan dalam mata wang tempatan.

Gabenor BI Perry Warjiyo berkata pihaknya percaya penambahbaikan LCBSA dengan BNM mencerminkan kepentingan kerjasama antarabangsa.

Kerjasama itu sebagai sebahagian daripada gabungan dasar BI yang menyokong dasar utama dalam bidang monetari, kehematan makro serta sistem pembayaran, dan pada masa yang sama menyumbang kepada pembangunan mata wang tempatan dalam transaksi dua hala, katanya.

BNM dan BI mengadakan mesyuarat dua hala peringkat tinggi di sini pada Jumaat, 27 Sept.

Kedua-dua bank pusat telah bertukar-tukar maklumat dan pengalaman serta mengadakan perbincangan dasar yang menyeluruh merangkumi perkembangan makroekonomi, monetari dan kewangan, sistem pembayaran dan pendigitalan, serta strategi untuk memajukan kewangan Islam.

Libat urus yang erat itu mencerminkan kerjasama yang sekian lama antara kedua-dua bank pusat serta komitmen yang padu untuk terus mengukuhkan lagi kerjasama yang saling memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here