VIENTIANE, 4 Okt – Kerajaan Laos telah mengarahkan perniagaan dan penyedia perkhidmatan untuk membayar elaun sokongan yang lebih tinggi kepada pekerja berpendapatan rendah bagi menangani kos sara hidup yang meningkat.

Kementerian Buruh dan Kebajikan Sosial Laos mengeluarkan notis, berkuat kuasa pada 1 Okt yang menggesa majikan dalam unit perniagaan dan perkhidmatan untuk membayar gaji minimum bulanan sebanyak 2.5 juta kip Lao (kira-kira AS$114), menurut laporan kementerian pada Khamis.

Gaji minimum ketika ini berada pada 1.6 juta kip (kira-kira AS$73). Bagaimanapun, dengan kenaikan kos sara hidup yang mendadak, kerajaan menganggap adalah perlu untuk memberikan sokongan tambahan kepada pekerja di seluruh negara.

Kenaikan gaji dan elaun baru ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan yang lebih luas untuk membantu pekerja menghadapi tekanan ekonomi akibat kos sara hidup yang tinggi dan inflasi.

Inflasi di Laos masih menjadi kebimbangan utama, walaupun sedikit menurun kepada 21.7 peratus pada September 2024, berbanding 24.3 peratus pada Ogos.

Sementara itu, inflasi yang tinggi dan penurunan nilai kip bermakna pekerja dibayar kurang dalam terma sebenar, yang melemahkan kapasiti perbelanjaan mereka dan dipercayai memaksa ramai daripada mereka mencari pekerjaan di negara lain, menyebabkan kekurangan tenaga buruh domestik semakin buruk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here