KUALA LUMPUR, 15 Okt – Sebanyak 34 solusi teknologi dibangunkan pemenang MyHackathon berjaya dikomersialkan sejak program itu dilancarkan pada 2020.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata solusi itu antaranya berkaitan pembangunan sebuah aplikasi untuk memantau pembelajaran kanak-kanak di sekolah yang kini sedang dikembangkan oleh Kementerian Pendidikan di seluruh negara. 

“Kita juga mempunyai syarikat pemula yang membangunkan teknologi dron untuk kawasan penjara dan sistem untuk mengenal pasti gas berbahaya di bawah Jabatan Bomba.

“Setakat ini, semua solusi itu digunakan untuk pasaran tempatan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan dan Pengumuman Pemenang Myhackathon Kohort Satu di AICB Centre of Excellence di sini hari ini. 

Chang berkata MyHackathon diwujudkan untuk menghubungkan pencipta inovasi dengan agensi dan kementerian berkaitan supaya dapat memberikan kepakaran mereka dalam menyelesaikan cabaran dihadapi kerajaan dan agensi-agensi kerajaan.

Beliau berkata pada edisi kali ini, tujuh pernyataan masalah diketengahkan termasuk berkaitan Sistem Perakuan Bantuan Guaman Penuh di bawah Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Perdana Menteri); Sistem Digital bagi Pengurusan MyPPP (Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri; dan Sistem E-Hansard (Parlimen Malaysia).

“Program telah menerima lebih 500 penyertaan, melibatkan pelbagai latar belakang kepakaran termasuk peserta dari luar Lembah Klang antaranya Sabah dan Sarawak. Daripada jumlah itu lebih 100 cadangan solusi yang berinovasi disenarai pendek sebelum finalis akhir dipilih hari ini.

“Sejujurnya saya kagum dengan kualiti penyelesaian yang ditunjukkan peserta kerana idea-idea yang diketengahkan bukan sahaja praktikal tetapi juga inovatif selari dengan keperluan transformasi digital negara,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat keperluan untuk kerajaan membawa masuk teknologi robotik terkini yang dibangunkan Tesla dan China ke Malaysia untuk kegunaan industri, Chang berkata Malaysia lebih berminat untuk menjadi pengeluar teknologi berbanding membawa masuk atau mengguna teknologi dari luar negara.

Beliau berkata Malaysia mempunyai ramai bakat dalam pembangunan teknologi termasuk robotik namun belum mencipta nama di peringkat antarabangsa.

“Memang kita nampak trend-trend besar (pembangunan teknologi) dalam pasaran cuma kita ada juga bakat-bakat yang boleh bangunkan solusi tersendiri, jadi kita lebih fokus dalam membangunkan potensi itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here