NEW DELHI, 2 Okt – India pada Rabu meluahkan kebimbangannya terhadap pergolakan yang semakin meningkat di Asia Barat.

“Kami amat prihatin terhadap peningkatan situasi keselamatan di Asia Barat dan sekali lagi menyeru semua pihak yang terlibat untuk bertindak dengan berhemah serta melindungi orang awam. Adalah penting agar konflik ini tidak berkembang menjadi masalah serantau yang lebih luas dan kami menggesa semua isu diselesaikan melalui dialog dan diplomasi,” menurut Kementerian Luar India dalam satu kenyataan.

Iran pada Selasa melancarkan puluhan peluru berpandu hipersonik ke sasaran Israel sebagai tindak balas terhadap pencerobohan dan pembunuhan rejim Zionis di Iran dan Lubnan.

Kerajaan India juga mengeluarkan nasihat untuk warganegaranya di Iran.

“Warganegara India dinasihatkan untuk mengelakkan semua perjalanan yang tidak penting ke Iran. Mereka yang kini menetap di Iran diminta untuk terus berwaspada dan kekal berhubung dengan Kedutaan India di Tehran,” menurut Kementerian Luar India.

Kedutaan India di Tel Aviv pada Selasa meminta rakyat India di Israel untuk terus berwaspada.

“Sila berhati-hati, elakkan perjalanan yang tidak perlu di dalam negara dan kekal dekat dengan tempat perlindungan keselamatan. Kedutaan memantau keadaan dengan teliti dan kekal berhubung dengan pihak berkuasa Israel untuk memastikan keselamatan semua warganegara,” menurut kedutaan itu.

Jumlah rakyat India di Israel dianggarkan sekitar 26,000 dengan ribuan pekerja India direkrut oleh Israel dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here