SEREMBAN, 2 Okt – Kerajaan Negeri Sembilan sedang melihat potensi untuk mewujudkan trek perlumbaan motosikal lasak dalam hutan sebagai sukan baharu di negeri ini yang boleh menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Mustapha Nagoor berkata ia berikutan sukan lasak berkenaan semakin popular dan sentiasa mendapat tempat dalam kalangan peminatnya.

“Lagipun, kita juga akan menganjurkan Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026 nanti, jadi kita sedang bangunkan program dan kemudahan dari masa ke masa, kita memang ada litar motocross di Jempol, tapi sekarang kita tengok potensi motocross dalam hutan pula.

“Mana-mana tempat sesuai kerana ia antara acara sukan popular, kita tengok mana sesuai untuk dijadikan produk kita, mungkin boleh buat di Jelebu atau sebagainya, sebab kita ada banyak hutan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga berminat untuk meneroka beberapa sukan lasak lain termasuk sukan kuda lasak seperti di Terengganu yang boleh menarik kehadiran pengunjung seluruh dunia sekali gus mampu meningkatkan ekonomi negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya merancang untuk menaik taraf litar permotoran di Jempol bagi memastikan acara berkenaan dapat dijalankan dengan baik selain membolehkan kejohanan lebih besar dapat diadakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here