CANBERRA, 17 Okt – Kadar pengangguran Australia kekal stabil pada 4.1 peratus pada September, dengan lebih 50,000 pekerjaan baharu diwujudkan.

Data rasmi tenaga buruh yang dikeluarkan oleh Biro Perangkaan Australia (ABS) pada Khamis menunjukkan kadar pengangguran pada September tidak berubah sejak Ogos.

ABS melaporkan bahawa ekonomi Australia menambah 64,100 pekerjaan antara Ogos dan September, dengan 51,600 daripadanya adalah pekerjaan sepenuh masa.

Buat kali pertama dalam sejarah, jumlah pekerja sepenuh masa di Australia melebihi 10 juta orang pada September.

Nisbah pekerjaan kepada populasi meningkat daripada 64.3 peratus pada Ogos kepada 64.4 peratus pada September, menyamai rekod tertinggi sebelumnya.

Kadar penyertaan juga mencatatkan rekod baharu pada 67.2 peratus.

“Penggajian meningkat 3.1 peratus dalam tempoh setahun lalu, melebihi kadar pertumbuhan populasi awam yang hanya 2.5 peratus,” kata Ketua Statistik Tenaga Buruh ABS, Bjorn Jarvis, dalam satu kenyataan.

Jumlah keseluruhan jam bekerja rakyat Australia meningkat 0.3 peratus dari Ogos hingga September, mencapai 1.968 bilion jam.

Mengulas berhubung data itu, Bendahari Jim Chalmers dalam kenyataannya di media sosial menyatakan bahawa 1 juta pekerjaan diwujudkan sejak kerajaan sekarang mengambil alih kuasa pada 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here