KUALA LUMPUR, 18 Okt – Kerajaan meluluskan Forest City di Johor sebagai Pulau Bebas Cukai bagi menyokong aktiviti pelancongan dan ekonomi setempat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pakej galakan cukai bagi Zon Kewangan Khas Forest City turut diumumkan bagi merancakkan aktiviti perkhidmatan kewangan seperti perkhidmatan perniagaan global kewangan dan teknologi kewangan (fintech).

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Skim Pejabat Keluarga Tunggal juga telah dilancarkan untuk Zon Kewangan Khas Forest City.

“Bagi menjayakan pengoperasian Pejabat Keluarga, Suruhanjaya Sekuriti akan berperanan sebagai pihak berkuasa melulus untuk pemberian pas residen serta pas penggajian kepada masing-masing pelabur keluarga pengasas dan professional pelaburan pejabat keluarga berkaitan,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Jumaat. 

Pejabat keluarga pada asasnya ialah syarikat milik persendirian yang mengendalikan pengurusan pelaburan dan pengurusan kekayaan.

Dalam pada itu, Anwar berkata memorandum persefahaman Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang telah dimeterai pada Januari 2024, juga menandakan pencapaian besar kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here