KHARTOUM, 20 Okt – Kementerian Kesihatan Sudan pada Sabtu memaklumkan bahawa kempen vaksinasi yang menyasarkan lebih 1.4 juta orang terhadap kolera bermula di bahagian timur dan utara negara itu.
“Kempen tindak balas terhadap wabak kolera dilancarkan pagi ini (Sabtu) di tiga negeri, termasuk Sungai Nil (di utara Sudan), Kassala, dan Gedaref (di timur Sudan),” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kempen itu bertujuan untuk memberi vaksin kepada 1,407,546 orang yang berumur satu tahun ke atas dan akan berlangsung sehingga Khamis, menurut kenyataan itu.
“Kempen ini adalah antara intervensi untuk mengurangkan beban penyakit dan tahap risiko, yang dapat membatasi kedua-dua jangkitan dan kematian,” kata Amal Mahmoud, wakil daripada jabatan penjagaan kesihatan kementerian.
Sementara itu, pengarah Program Imunisasi yang Diperluaskan, Ismail Al-Adani berkata lebih banyak dos vaksin kolera akan tiba pada 24 Oktober.
Kementerian berkata pada 5 Okt bahawa ia menerima 1.4 juta dos vaksin kolera yang disediakan oleh organisasi antarabangsa GAVI, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Setakat ini, Kementerian Kesihatan Sudan melaporkan 25,037 kes kolera dan 702 kematian berkaitan.
Pada Jumaat, UNICEF memberi amaran melalui platform media sosial X bahawa 3.1 juta orang, termasuk 500,000 kanak-kanak di bawah umur 5 tahun berisiko dijangkiti kolera di Sudan.