BEIJING, 21 Okt – Kembali dengan edisi ke-2, Festival Malaysia iaitu “RASA MALAYSIA” menampilkan lebih banyak produk dan keunikan Malaysia menerusi makanan, kraf, kebudayaan dan sektor pelancongan berbanding edisi pertamanya tahun lalu.
Berlangsung selama 3 hari bermula 18 hingga 20 Okt di Taikoo Li Sanlitun, Beijing, festival “RASA MALAYSIA” menyaksikan sebanyak 52 gerai dibuka dengan 37 daripadanya adalah dari Malaysia dan baki melibatkan beberapa negara lain seperti China, Thailand dan Indonesia.
Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhammad ketika ditemubual wartawan CGTN Malay berkata festival “RASA MALAYSIA” merupakan platform terbaik untuk rakyat China mengenali Malaysia terutamanya melalui makanan.
“Saya rasa makanan adalah satu wadah yang baik untuk memperkenalkan sesuatu negara sebab semua suka makan. Kita punya makanan di Malaysia sangat kaya, ada pelbagai jenis, malah kita juga banyak pengaruh dari Melayu, Cina, India, Arab dan Barat,” kata beliau.
Ketika ditanya mengenai kelainan yang ditampilkan pada edisi kali ini, Datuk Norman dengan yakinnya berkata durian segar dibawakan khas dari Malaysia sempena festival kali ini.
“Tahun ini kelainan paling utama kita ada durian segar, tahun lepas durian sejuk beku. Saya dimaklumkan kita dapat banyak pertanyaan mengenai Black Thorn malangnya bukan dalam musim dia sekarang, inshaallah tahun depan kita akan cuba buat RASA MALAYSIA lebih kurang sama dengan musim Black Thorn.”
Antara produk Malaysia yang ditampilkan pada festival “RASA MALAYSIA” kali ini ialah durian segar Musang King, nasi lemak, pelbagai kuih tradisional, laksa, roti canai, apam balik dan lain-lain.
Malah permainan tradisional seperti congkak, hasil kraf batik dan pelbagai persembahan kebudayaan di Malaysia turut dipersembahkan pada “RASA MALAYSIA” 2024.