JAKARTA, 25 Okt – Indonesia, satu daripada negara rakan yang baru diiktiraf dalam kumpulan BRICS, menyatakan bahawa perkembangan itu tidak bermaksud republik berkenaan menyertai mana-mana blok tertentu, tetapi sebaliknya menunjukkan komitmennya untuk berperanan aktif dalam pelbagai platform antarabangsa.
Indonesia diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara yang secara rasmi dimasukkan sebagai rakan baharu BRICS semasa Sidang Kemuncak BRICS Plus selama dua hari di Kazan, Rusia, yang berakhir pada Khamis.
“Kemasukan Indonesia dalam BRICS mencerminkan komitmen kami terhadap dasar luar yang aktif dan bebas,” kata Menteri Luar Indonesia Sugiono, dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Sugiono, keutamaan BRICS selaras dengan program kerja kerajaan Indonesia, khususnya dalam bidang keselamatan makanan dan tenaga, pembasmian kemiskinan, serta pembangunan sumber manusia.
Beliau berkata BRICS juga boleh berfungsi sebagai platform yang sesuai untuk membincangkan dan mempromosikan kepentingan bersama negara Selatan Global.
BRICS pada asalnya ditubuhkan sebagai “BRIC” yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, dan China pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi besar yang sedang pesat membangun, dan pada 2010, Afrika Selatan dijemput menyertai, menjadikan nama BRICS yang digunakan sekarang.
Keahliannya telah diperluas pada 2023 dengan penambahan Ethiopia, Iran, Mesir, dan Emiriah Arab Bersatu.
Sugiono turut menyatakan bahawa Indonesia akan terus terlibat dalam forum antarabangsa lain dan perbincangan dengan negara maju, sambil menambah bahawa Presiden yang baru dilantik, Prabowo Subianto, akan menghadiri sidang kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil bulan depan, manakala beliau dijemput untuk menghadiri mesyuarat Menteri Luar G7 yang diperluas di Fiuggi, Itali.