SHANGHAI, 5 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengundang  Presiden China Xi Jinping untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Campur China pada tahun depan. 

Undangan ini sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Perkara ini didedahkan Duta Malaysia ke Beijing Datuk Norman Muhamad dalam sidang media di sini Isnin (4 Nov) sempena lawatan Perdana Menteri ke China.

“Saya yakin Perdana Menteri memang akan ketengahkan Kepengerusian ASEAN kita. Itu amat penting dan mungkin Perdana Menteri akan menjemput Presiden Xi Jinping untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan juga Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Campur China,” katanya.

Menurutnya, China memang melihat ASEAN sebagai satu pertubuhan yang penting untuk menjamin keselamatan dan kestabilan di rantau ini.

Perdana Menteri akan melawat Beijing selama dua hari bermula 6 Nov, di mana beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi.

“Saya rasa Perdana Menteri akan ambil kesempatan ini. Ini memang peluang terbaik sebab berdepan. Mungkin juga Perdana Menteri akan berjumpa Presiden Xi di tempat lain .. wadah lain.. di APEC, di G20 tapi yang ini bilateral. Jadi lebih elok,” katanya lagi.

Hubungan Dialog ASEAN-China bermula apabila Qian Qichen, Menteri Luar China yang menghadiri sesi pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-24 pada Julai 1991 di Kuala Lumpur sebagai tetamu Kerajaan Malaysia dan beliau menzahirkan minat mendalam China untuk bekerjasama dengan ASEAN untuk manfaat bersama.

Selepas itu, China diberikan status sebagai Rakan Dialog penuh pada AMM ke-29, Julai 1996 di Jakarta, menurut  Kertas Maklumat Sekretariat ASEAN bertarikh 12 Jun 2024 yang boleh didapat di asean.org. 

Hubungan antara ASEAN dan China diangkat kepada peringkat lebih tinggi dengan penandatanganan Deklarasi Bersama Ketua-Ketua Negara/Kerajaan mengenai Perkongsian Strategik untuk Keamanan dan Kemakmuran  pada Sidang Kemuncak Ketujuh ASEAN-China, Oktober 2023 di Bali, Indonesia. 

Anwar ketika ini dalam rangka lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 Nov 2024, atas jemputan rakan sejawatnya Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7) di Shanghai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here