KUALA LUMPUR, 4 Nov — Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengadakan pertemuan dengan Duta Kuwait di Malaysia, Rashed M. R. Al-Saleh, bagi membincangkan hasrat Malaysia untuk memperoleh pesawat tempur milik Tentera Udara Kuwait (KAF).

Mohamed Khaled dalam perkongsiannya di laman media sosial memaklumkan bahawa perbincangan di Kementerian Pertahanan itu merupakan susulan kepada lawatan kerja rasminya ke Kuwait pada awal Oktober lepas.

“Semasa di Kuwait, saya telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri negara tersebut.

“Saya turut melawat Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber yang menempatkan skuadron yang bertanggungjawab mengendalikan pesawat tempur jenis F/A-18C/D Legacy Hornet milik KAF,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, perolehan pesawat tempur tersebut berupaya meningkatkan keupayaan dan kesiagaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here