MACHANG, 21 Nov — Sebanyak 19 sekatan jalan raya (SJR) dijalankan oleh polis selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mula dilaksanakan di Kelantan tengah malam tadi.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata setiap daerah akan diadakan antara satu hingga tiga SJR bergantung kepada persempadanan daerah masing-masing.

Beliau berkata untuk PKPB ini, daerah yang menjadi tumpuan adalah Machang kerana kewujudan kluster Mengketil yang cepat merebak sehingga ke beberapa daerah lain yang sebelum ini dikategorikan sebagai zon hijau.

“Kita berharap penduduk di daerah Machang tidak keluar ke mana-mana dan orang lain juga jangan ke Machang sekiranya tidak mempunyai hal mustahak. Kita lakukan ini bagi memutuskan rantaian COVID-19 di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau SJR di Pulai Chondong di sini, tengah malam tadi.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPB di Kelantan mulai hari ini sehingga 6 Dis.

Shafien berkata bermula tengah malam tadi, seramai 200 pegawai dan anggota polis memulakan tugasan mengikut syif, dan akan dibantu Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad serta Jabatan Kerja Raya dari segi logistik.

Beliau berkata berikutan pelaksanaan PKPB itu, rakyat Kelantan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, dan jika ada hal mustahak boleh berhubung dengan balai polis berdekatan untuk mendapatkan kebenaran.

Jika tiada apa-apa keperluan, duduk sahaja di rumah sehingga selesai PKPB. Sesiapa yang melanggar PKPB boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, kata beliau.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here