PETALING JAYA,3 Dis: Aktivis Marina Mahathir mencadangkan sistem sekolah kebangsaan dirombak untuk menarik lebih ramai pelajar berbilang kaum dan memupuk perpaduan lebih baik.

Walaupun mendapati sesetengah pihak mendakwa antara punca rakyat kurang bersatu kerana generasi muda tidak semua ke sekolah sama, katanya, melarang pendidikan aliran lain bukan caranya.

“Sistem pendidikan menjadi begitu bersegmen, bukan hanya antara sekolah kebangsaan dan vernakular, tetapi juga sekolah swasta tempatan, sekolah swasta antarabangsa, dan rakyat belajar dari rumah. Dan tidak lupa, sekolah agama di mana tiada orang bukan Islam,” katanya dalam webinar semalam.

“Jika anda mahu bercakap mengenai perpaduan mengikut cara mereka, anda perlu mengharamkan semua sekolah lain, kecuali sekolah kebangsaan. Tetapi, itu terlalu pelik, selain merampas pilihan ibu bapa daripada apa yang terbaik buat anak mereka.

“Bagi saya, cara terbaik ialah menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah terbaik di negara ini. Ia akan menjadi sekolah rebutan dan menyatukan semua orang.”

Marina berkata, pengkritik sistem sekolah kebangsaan mengabaikan punca sebenar sebahagian besar orang bukan Melayu mengetepikan sekolah kebangsaan – piawaian pendidikan mereka “merosot” dan penekanan “tidak selesa” ke atas agama.

Webinar bertajuk “Islam, Freedom of Expression and Countering Extremism” itu dianjurkan Sisters In Islam (SIS) dan Komuniti Muslim Universal Malaysia, susulan serangan keganasan oleh Islamis di Perancis baru-baru ini.

Oktober lalu, seorang penyerang memancung kepala seorang guru sejarah di pinggir bandar Paris kerana menunjukkan kartun Nabi Muhammad di kelas.

Ahli panel dalam webinar itu menyentuh serangan pada 2015, selepas karikatur Nabi Muhammad disiarkan majalah mingguan satira Charlie Hebdo, yang meragut 12 nyawa, dengan lebih 250 orang terkorban dalam kejadian sedemikian selepas itu.

Kematian itu mencetuskan perdebatan di seluruh dunia, dengan Pengurus Program Sisters in Islam dan moderator, Shareena Sheriff mendapati majoriti komuniti dan negara Islam tidak menangani isu radikalisme dan ekstremisme agama yang mengorbankan banyak nyawa tidak berdosa atas nama melindungi agama.

Walaupun Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengetengahkan nilai sekularisme tradisi dan kebebasan bersuara di negara itu untuk mempertahankan penerbitan kartun itu, seorang lagi ahli panel, Mustafa Akyol dalam perbincangan semalam berkata, Paris sepatutnya lebih sedar cara terbaik untuk berdepan warganegara Islamnya yang konservatif.

“Hormat dan beri ruang kepada mereka supaya mereka boleh merasainya dan menjadi siapa yang mereka mahu di negara itu,” kata sarjana Turki terkenal itu.

“Jika anda memaksa mereka menerima cara yang anda tentukan, anda akan menghadapi dendam dan kebencian yang bertentangan matlamat anda.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here