PETALING JAYA,9 Dis: Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berkata, bimbang dipinggirkan dan keselamatan diri tidak terjamin antara faktor hanya 0.01% daripada 1.6 juta kakitangan kerajaan melaporkan kegiatan rasuah dalam jabatan atau agensi masing-masing.

Presidennya, Adnan Mat berkata, penjawat awam bimbang menjadi mangsa sasaran pihak tertentu, jika laporan rasuah mereka tidak diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.

“Kebimbangan utama penjawat awam adalah keselamatan mereka jika melaporkan rasuah dan salah guna kuasa. Mereka tidak yakin dengan jaminan SPRM dan jabatan sendiri bahawa keselamatan serta identiti mereka tidak akan didedahkan.

“Jika identiti mereka terdedah, pengadu bimbang akan dipinggirkan, diancam keselamatan serta tidak dipedulikan di jabatan mereka kerana dianggap mencemarkan nama baik jabatan.

“Justeru, ketua jabatan atau pihak berkuasa perlu mengambil serius setiap laporan yang diterima dan dalam masa sama memastikan keselamatan pengadu dijamin,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian susulan pendedahan SPRM semalam hanya 0.01% penjawat awam berani tampil melaporkan perbuatan rasuah dalam jabatan dan agensi masing-masing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Shamshun Baharin Mohd Jamil dilaporkan berkata, angka itu masih rendah untuk merealisasikan sifar rasuah dalam perkhidmatan awam.

Katanya, walaupun insentif disediakan kepada penjawat awam yang melaporkan kes rasuah, data agensi itu menunjukkan hanya 343 penjawat awam tampil memberi maklumat antara 2012 hingga tahun lalu.

Adnan berkata, ganjaran atau insentif ditawarkan kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada pemberi maklumat bukan keutamaan untuk penjawat awam melaporkan salah laku atau penyelewengan dalam sektor awam.

Katanya, angka rendah itu tidak boleh dijadikan kesimpulan penjawat awam tidak berminat membendung gejala rasuah.

“Ketika ini, sistem perkhidmatan dan pentadbiran di jabatan kerajaan sendiri mengalami peningkatan mutu dan penambahbaikan yang begitu ketara sehingga menyukarkan kegiatan salah laku.

“Kita ada Jabatan Audit Negara serta unit dan bahagian audit sendiri dalam setiap jabatan kerajaan yang akan memastikan setiap perolehan atau apa-apa program yang dilaksanakan berjalan mengikut piawaian ditetapkan.

“Apabila sistem ini berfungsi dengan baik, sudah pasti sukar untuk kegiatan salah laku dilakukan warganya. SPRM sendiri perlu lebih kerap turun ke lapangan bagi melaksanakan program pendidikan dan pencegahan. Ia sedikit sebanyak membolehkan lebih ramai tahu saluran yang boleh digunakan untuk membuat aduan.”

Beliau berkata, pelaksanaan prinsip liabiliti korporat pada Jun lalu bagi menggalakkan organisasi komersial mengambil langkah bersesuaian memastikan perniagaan mereka tidak terbabit dalam aktiviti rasuah perlu diperkasakan.

”CUEPACS berpandangan prinsip liabiliti korporat wajar diperkenal dan dikuatkuasakan kepada ketua jabatan di peringkat perkhidmatan awam. Pelaksanaan ini sudah pasti dapat membanteras kegiatan salah laku di peringkat awal apabila lebih banyak langkah pencegahan dibuat.”

Katanya, sebanyak 2,287 kertas siasatan dibuka membabitkan penjawat awam bagi menyiasat aduan salah laku dan salah guna kuasa sejak 2016 hingga September lalu dan beliau menyifatkan ia angka sangat kecil, iaitu hanya sekitar 0.15% daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here