KUALA LUMPUR, 26 Feb — Kerajaan digesa menyediakan kecairan dan bantuan kewangan kepada agensi pelancongan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam usaha memulihkan industri pelancongan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Tan Kok Liang dalam kenyataan hari ini berkata bantuan tersebut merangkumi program subsidi gaji untuk pekerja, moratorium pinjaman dan geran yang diperlukan syarikat agensi pelancongan untuk pemulihan industri berkenaan.

“Kami mengesa kerajaan untuk menyokong sektor pelancongan ketika ini dengan “tindakan sebenar” dan pada masa sama kami (industri) membuat persiapan untuk memulihkan keadaan agar menjadi lebih baik dan lestari,” katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu katanya, perubahan segera terhadap polisi dan peraturan kerajaan, kerjasama sektor swasta-awam untuk pembukaan semula yang cekap, meningkatkan perjalanan domestik dan memanfaatkan teknologi berdasarkan norma baharu adalah penting.

Beliau menambah, langkah-langkah segera untuk memulihkan industri pelancongan akan memberi kesan berlipat-ganda dan membantu lebih 510,000 syarikat dan IKS dalam pelbagai subsektor dalam industri pelancongan.

Kesemua cadangan berkenaan dibentangkan kepada Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri pada 19 Feb lepas.

Mengenai Dasar Pelancongan Kebangsaan 2020-2030, sebagai permulaan Tan mencadangkan agar kerajaan melaksanakan pengembaraan pasca-COVID-19 dan peta jalan baharu untuk tempoh tiga tahun akan datang demi pemulihan sektor pelancongan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here