SANDAKAN, 8 April  — Hutan bukan untuk tujuan menghasilkan kayu balak semata-mata  sebaliknya perlu dikaji serta dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi berteraskan kelestarian hijau, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata sumber ekonomi daripada hutan seperti pelancongan alam semula jadi, pembayaran untuk perkhidmatan ekosistem (PES), bakau dan perikanan, urus niaga karbon serta herba dan farmaseutikal perlu dikaji dan dibangunkan bagi memastikan sumber itu dapat dimanfaatkan dengan lebih baik.

“Sumber kekayaan baharu daripada hutan itu perlu diteroka dan dimanfaatkan menerusi aktiviti pembangunan dan penyelidikan berdasarkan konsep pengurusan ‘Forest Beyond Timber’.

“Kerajaan negeri akan memastikan ekosistem hutan dan kelestarian alam sekitar terus dijaga menerusi satu daripada teras utama Hala Tuju Inisiatif Sabah Maju Jaya iaitu memperkasa jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Hari Hutan Antarabangsa 2021 Peringkat Negeri Sabah di sini yang turut dihadiri Ketua Konservator Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah Frederick Kugan.

Sementara itu, Hajiji berkata 101,038 hektar hutan terosot telah dikenal pasti untuk tujuan restorasi di Sabah dengan kira-kira 63,000 hektar telah ditanam semula dengan anggaran kos RM316 juta.

Beliau berkata kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan berjumlah RM26.6 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 untuk pengurusan dan pemulihan hutan di beberapa kawasan hutan simpan.

Katanya, sebanyak 333,903 pokok telah berjaya ditanam di Sabah hingga bulan lepas di bawah Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah Agenda Penghijauan Malaysia.

“Sabah menyasarkan untuk menanam 40 juta pokok di seluruh negeri dengan sasaran lapan juta pokok setahun,” katanya.

Sementara itu, Frederick berkata jabatan itu telah merancang beberapa aktiviti melibatkan usaha pemulihan hutan termasuk pembangunan ladang hutan seluas 16,000 hektar dengan anggaran kos RM160 juta.

“Turut dirancang aktiviti rawatan silvikultur iaitu kerja semaian, penanaman, pembajaan dan penjagaan pokok di kawasan hutan terosot seluas 5,000 hektar dengan perbelanjaan dianggarkan RM2 juta,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here