KUALA LUMPUR, 26 April — Kerajaan dicadang supaya membuka peluang luas dan menyediakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang lebih berkualiti kepada komuniti orang kurang upaya (OKU).

Ahli Dewan Negara Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata lepasan TVET dalam kalangan OKU mempunyai potensi besar untuk kerjaya masa hadapan dan pembangunan sosioekonomi negara.

Ras Adiba berkata latihan dan kemahiran TVET yang lebih berkualiti kepada OKU boleh ditawarkan menerusi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), kolej komuniti, politeknik, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan pusat latihan berkaitan.

“Peruntukan khas untuk pembangunan dan kecemerlangan OKU dalam bidang TVET juga amat diperlukan serta harus diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan,”  kata Presiden OKU Sentral itu dalam satu kenyataan hari ini.

Mengambil contoh inisiatif Kerajaan Negeri Perak yang menyediakan peruntukan RM200,000 untuk program TVET secara percuma kepada pelbagai kategori OKU di negeri itu Ras Adiba berkata antara bidang kemahiran yang boleh ditawarkan ialah seperti refleksologi, salun dan guntingan rambut, teknologi maklumat, jahitan dan pastri. 

“Dengan adanya latihan dan kemahiran dalam bidang-bidang ini, tentunya kita dapat mengupayakan kemahiran golongan OKU agar mereka dapat berdikari dengan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat menerusi ruang pekerjaan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ras Adiba turut mencadangkan pihak kerajaan yang memainkan peranan penting dalam pemerkasaan modal insan ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) berasaskan kemahiran teknologi tinggi agar tidak meminggirkan komuniti OKU.

Selain itu beliau juga mencadangkan agar progam TVET didigitalkan bagi memudahkan golongan OKU mendapatkan akses kepada program latihan kemahiran yang disediakan hanya daripada rumah.    

 Ras Adiba berharap Ruang Cikgu yang ketika ini menjadi platform yang menyediakan latihan TVET dalam talian kepada semua turut disediakan bagi komuniti OKU.   

 Selain itu, beliau berkata kerjasama antara pemain industri swasta, institusi latihan, agensi kerajaan dan komuniti OKU bagi menghubungkan antara peluang dan permintaan pasaran serta latihan dan penawaran program seperti Work-based learning, Structured Internship Programme diadakan bagi meningkatkan kebolehpasaran lepasan TVET.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here