MELAKA, 4 Feb — Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh masih kekal sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Exco, perkara tersebut masih belum dibincangkan dengan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
“Saya belum berunding lagi (dengan Tun Mohd Ali).. maksudnya sekarang dia (Dr Muhamad Akmal) kekal sebagai Exco. Peletakan jawatannya belum lagi saya bincang dengan Tuan Yang Terutama Tun (Mohd Ali).
“Diterima atau ditolak masih belum lagi ada keputusan muktamad. Bagaimanapun sehingga hari ini beliau masih lagi menjalankan tugas sebagai Exco,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Hari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.
Dr Muhamad Akmal sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka susulan gesaan beliau supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan mendapat reaksi negatif daripada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

















Tinggalkan Balasan