Banyak Perjanjian Akan Dimeterai Sempena Lawatan Xi Jinping – Trump

WASHINGTON, 19 Sept — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat berkata pertemuannya dengan Presiden China Xi Jinping minggu depan dijangka menyaksikan pemeteraian “pelbagai perjanjian”, sambil menyifatkan pertemuan itu bakal berlangsung dengan baik, lapor Anadolu Ajansi.

“Presiden Xi dan saya mempunyai hubungan yang baik. Kami akan mencapai banyak perjanjian di sini … Kami akan mengadakan pertemuan yang sangat baik,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval.

Trump berkata AS dan China “mempunyai hubungan yang sangat baik” sambil merujuk kepada tarif yang dikenakan terhadap barangan China.

“China membayar banyak tarif kepada kami,” kata Trump sambil menyebut kadar tarif itu pernah mencecah 145 peratus sebelum beliau menurunkannya kerana kadar lebih tinggi itu “benar-benar memberi kesan buruk kepada mereka”.

Xi dijadual melawat Washington minggu depan untuk mengadakan rundingan dengan Trump pada 24 Sept.

Trump turut berkata adalah sesuatu yang malang apabila dewan besar Rumah Putih masih belum dibuka kerana beliau boleh menganjurkan jamuan makan malam untuk kira-kira 2,000 tetamu sempena lawatan Xi.