RAUB, 26 Feb — Lima sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat di sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar 3.35 pagi tadi.
“Sejurus pemadaman kita menjumpai kesemua mangsa di lokasi kejadian, “ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata kesemua mayat berkenaan akan dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya telah tiba di lokasi kejadian pada 4.15 pagi dan operasi pemadaman kebakaran itu berjaya dikawal pada 4.48 pagi tadi.
Beliau berkata kebakaran berkenaan telah memusnahkan 100 peratus struktur rumah selain turut melibatkan tiga kereta dan tiga motosikal yang turut terbakar.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki menggunakan sumber air daripada tangki pam jentera bomba,” katanya.
Beliau berkata sembilan anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dari BBP Raub terlibat dalam operasi itu, dengan bantuan lima anggota serta satu FRT dari BBP Lipis.

















Tinggalkan Balasan