BATU PAHAT, 9 Mac — Kementerian Perladangan dan Komoditi meningkatkan peruntukan bagi pembangunan industri lada kepada RM45.8 juta pada 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berbanding RM21.4 juta pada tahun lepas.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata peningkatan itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap potensi industri lada sebagai subsektor pertanian bernilai tinggi yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Sebanyak 10 projek pembangunan strategik akan dilaksanakan merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri lada daripada sektor huluan seperti penanaman, peningkatan produktiviti dan pengurusan ladang hingga pembangunan sektor hiliran termasuk pemprosesan, inovasi produk dan pengembangan pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Perladangan dan Komoditi di sini malam tadi.
Katanya pekebun kecil akan menerima manfaat secara langsung melalui pelbagai inisiatif pembangunan industri termasuk bantuan pembangunan kawasan tanaman baharu, pengurusan kebun lada matang serta penggunaan teknologi dan amalan pertanian moden.
“Selain itu, usaha turut memberi tumpuan kepada pengurangan kos pengeluaran melalui pembangunan input alternatif dan sokongan teknikal kepada pekebun,” katanya.
Noraini berkata pelaksanaan itu juga dijangka membuka peluang meningkatkan pendapatan menerusi pengembangan industri hiliran dan pembangunan produk dengan nilai tambah berasaskan lada.

















Tinggalkan Balasan