KUALA LUMPUR, 17 April — Kekuatan infrastruktur dan kecekapan rantaian pembekalan Malaysia adalah antara faktor utama kepada kejayaan pelaburan Amazon Web Services (AWS) di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menerusi hantaran di laman Facebook hari ini berkata AWS harus terus memperluas limpahan peluang kepada syarikat tempatan untuk terlibat secara lebih bermakna dalam ekosistem global mereka.
“Kerajaan akan terus memperkukuh dasar sedia ada bagi memastikan manfaat jangka panjang daripada pelaburan strategik ini di samping menggalakkan kerjasama lebih luas antara pembekal tempatan dengan ekosistem pusat data dan teknologi awan,” kata Anwar.
Anwar berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Naib Presiden Dasar Awam AWS Michael Punke bersama delegasi dalam kerangka pencapaian satu tahun pelancaran Rantau AWS di Malaysia, satu pelaburan strategik yang memperkukuh kedudukan negara sebagai hab digital serantau.
Perdana Menteri berkata perbincangan tertumpu kepada kemajuan pelaburan AWS dan kesannya terhadap ekonomi negara, khususnya dalam mempercepat agenda transformasi digital dan penggunaan awan Kerajaan MADANI, pembangunan bakat tempatan serta komitmen terhadap kelestarian.

















Tinggalkan Balasan