KUALA LUMPUR, 11 Mac — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan platform media sosial bagi mendapatkan maklumat pemilik akaun “Dickie Borneo”, susulan penyebaran visual di platform Threads dan Facebook yang memaparkan tindakan biadab seorang individu memijak al-Quran.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan tegas dan segera dapat diambil.
“Perbuatan tersebut bukan sahaja menghina agama Islam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Semakan awal mendapati hantaran asal berkenaan telah dipadam dan akaun yang terlibat dipercayai menggunakan nama Dickie Borneo tidak dapat dikesan. Walau bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan,” katanya.
Menurut MCMC hasil pemantauan lanjut turut mengenal pasti beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan agama, dipercayai melibatkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial, dengan semua kandungan berkaitan telah dipelihara sebagai bahan bukti bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Suruhanjaya itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan semula kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan ketenteraman awam.
“MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan yang menghina agama, menghasut kebencian atau menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja. Tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.
















Tinggalkan Balasan