Siasatan Terhadap Victor Chin Sedang Giat Dijalankan – Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR, 25 Mac — Siasatan terhadap ahli perniagaan Victor Chin Boon Long yang didakwa terbabit dalam manipulasi korporat berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang giat dijalankan membabitkan pelbagai agensi berkuasa.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan itu melibatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) serta Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Beliau berkata pihaknya mempunyai maklumat berhubung keberadaan Chin dan sebarang tindakan termasuk penarikan pasport individu berkenaan akan ditentukan selepas pihak berkuasa melengkapkan beberapa prosedur siasatan asas.

“Pertama, pasukan ‘AMLA’ polis akan establish dulu hala tuju siasatan. Kemudian, kita akan kenal pasti modus operandinya. Selepas itu, kita akan menghubungi mereka yang terlibat. Jadi, sama ada kita akan sampai terus kepada menyekat dokumen perjalanan, saya akan biarkan proses siasatan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 16 Mac lepas, polis mengesahkan telah menyerbu beberapa premis milik tokoh korporat berkenaan di sekitar Kemensah dan Sungai Long, Kajang, namun dia dan isterinya tiada di lokasi ketika serbuan dijalankan.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata pencapaian Malaysia menduduki tangga ke-13 daripada 165 negara dalam Indeks Keamanan Global 2025 meletakkan negara sebagai negara ketiga paling aman di Asia Pasifik selepas Singapura dan New Zealand dan kedua di Asia Tenggara.

Beliau berkata kedudukan itu turut menjadi rujukan penting kepada pelabur asing.

“Bersempena dengan Hari Polis ke-219, kita ulangi tekad bahawa kita akan pertahankan kedudukan ini, bahkan sasaran kita bagi RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13), kita mahu lonjakkan kepada nombor sembilan dan kita ada lima tahun untuk mencapainya,” katanya.

Hari Polis dengan slogan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”, disambut pada 25 Mac setiap tahun di Malaysia, bertujuan memperingati jasa, pengorbanan dan dedikasi warga PDRM dalam mengekalkan keselamatan negara serta ketenteraman awam.

Sambutan itu juga merupakan tarikh bersejarah penubuhan pasukan polis pada 25 Mac 1807 di Pulau Pinang susulan Piagam Keadilan (Charter of Justice).