Nilai Strategik Malaysia Meningkat, Bentuk Landskap Baharu Keselamatan Negara – MKN

KUALA LUMPUR, 26 Mac — Kedudukan geostrategik Malaysia yang unik, dipadankan dengan penguasaan dalam sektor teknologi kritikal, telah memperkukuh nilai strategik negara di persada antarabangsa berbanding tiga dekad lalu.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin berkata perkembangan itu menjadikan Malaysia semakin relevan dalam percaturan global, terutamanya ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik yang berpanjangan.

Dalam konteks ini, Malaysia turut menarik perhatian pelbagai kuasa besar yang berkepentingan terhadap kestabilan dan kelancaran sistem antarabangsa, justeru membentuk semula pendekatan keselamatan negara dalam era baharu yang semakin kompleks.

“Kepentingan itu diperkukuhkan lagi dengan fakta bahawa dianggarkan 30 hingga 40 peratus perdagangan minyak antarabangsa melalui perairan negara, sekali gus menjadikan Malaysia nadi penting dalam rantaian bekalan tenaga global.

“Selain faktor lokasi, dominasi Malaysia dalam sektor teknologi menerusi peranan utama dalam rantaian bekalan semikonduktor dunia serta potensi besar dalam pengeluaran unsur nadir bumi (REE) turut meletakkan negara di radar kuasa besar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Raja Nurshirwan menjelaskan terdapat empat faktor utama yang menyumbang kepada lonjakan nilai tersebut, antaranya kedudukan geografi unik sebagai satu-satunya negara yang bersempadan dengan dua laluan perdagangan paling kritikal dunia, iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Beliau berkata unjuran bahawa Asia Tenggara bakal menjadi pusat pertumbuhan global dalam tempoh 30 hingga 40 tahun akan datang turut memberi kelebihan kepada Malaysia yang terletak di tengah-tengah rantau tersebut.

“Kedudukan ini membuka ruang untuk Malaysia memainkan peranan yang lebih konstruktif dan seimbang dalam hubungan antarabangsa,” katanya.

Kelebihan ini juga, apabila digabungkan dengan penguasaan dalam teknologi kritikal, secara langsung mempengaruhi dimensi keselamatan negara yang kini tidak lagi terhad kepada sempadan fizikal.

“Perkembangan AI memperkenalkan dimensi baharu dalam keselamatan apabila buat kali pertama dalam sejarah manusia, kita mempunyai sesuatu yang boleh mencipta, yang dahulunya hanya mampu dilakukan oleh manusia. Ini mengubah landskap keselamatan antarabangsa dan domestik secara fundamental,” katanya.

Mengulas mengenai evolusi ancaman keselamatan, Raja Nurshirwan berkata landskap keselamatan kini jauh lebih kompleks dengan kemunculan elemen peperangan hibrid yang melibatkan pelbagai kaedah serangan secara terselaras.

Katanya ancaman masa kini tidak lagi terhad kepada konflik fizikal, sebaliknya merangkumi “zon kelabu” yang melibatkan manipulasi minda (mind conditioning), serangan siber, dan eksploitasi kecerdasan buatan (AI).

Menyentuh mengenai peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN), beliau menegaskan agensi itu berfungsi di peringkat dasar dan penyelarasan strategik bagi memastikan semua agensi penguatkuasaan bergerak secara tersusun dan bersepadu.

Beliau berkata di bawah Akta MKN 2016, tanggungjawab utama Ketua Pengarah ialah mengumpul, menghubungkait, dan menyelaraskan maklumat perisikan untuk disebarkan kepada entiti kerajaan yang berkaitan.

“Dalam senario yang amat kompleks sekarang, penyelarasan itu penting. Keberadaan silo sebenarnya adalah satu kelemahan bagi pengurusan keselamatan negara,” katanya.