Malaysia, Turkmenistan Setuju Teroka Peluang Pasaran Produk Pertanian Tempatan

PUTRAJAYA, 3 April — Malaysia dan Turkmenistan bersetuju untuk bekerjasama bagi meneroka lebih banyak peluang pasaran bagi produk pertanian tempatan, sekali gus meningkatkan perdagangan dua hala untuk manfaat bersama.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan perbincangan itu diadakan bersama Duta Besar Turkmenistan ke Malaysia Muhammetnyyaz Mashalov yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini.

“Pertemuan julung kali ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka potensi kerjasama dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan, selain memperkukuh hubungan perdagangan sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPKM, fokus utama perbincangan merangkumi kerjasama strategik dalam pengurusan sumber air pertanian serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui kerjasama institusi pertanian.

Turut dibincangkan ialah mengenai pemodenan sektor pertanian secara menyeluruh bagi menangani impak perubahan iklim dan sebagai langkah proaktif bagi memperkasakan agenda keterjaminan makanan di peringkat global.

Dalam pertemuan itu, Mohamad turut menjemput Turkmenistan untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026, bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Turut hadir dalam sesi kunjungan hormat itu ialah pegawai-pegawai kanan KPKM.

Rekod perdagangan pertanian antara Malaysia dan Turkmenistan setakat Disember 2025 mencatatkan nilai sebanyak RM58.74 juta merangkumi eksport produk pertanian Malaysia seperti kopi, koko, teh dan rempah-ratus.