KUALA LUMPUR, 6 April — Kesediaan digital dalam kalangan kanak-kanak dan remaja bukan sekadar menuntut penguasaan teknologi, sebaliknya merangkumi kematangan emosi untuk menetapkan batasan privasi serta keupayaan mengenal pasti ancaman manipulasi di alam maya.
Pakar Psikiatri Penolong Prof Dr Hijaz Ridzwan berkata remaja bawah usia 16 tahun secara umumnya masih berada dalam fasa perkembangan emosi yang belum stabil, menyebabkan mereka lebih cenderung bertindak secara impulsif dan dipengaruhi emosi berbanding berfikir secara rasional.
“Penggunaan media sosial memerlukan tahap kematangan tertentu kerana remaja yang masih muda mudah memuat naik kandungan ketika beremosi tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang, selain mudah terpengaruh dengan rakan sebaya serta tekanan sosial,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Dr Hijaz, yang juga merupakan Pensyarah Jabatan Psikiatri Kulliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengulas mengenai langkah kerajaan untuk menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial yang dijadualkan pada separuh kedua tahun ini.
Beliau berkata umur 16 tahun merupakan penanda aras penting memandangkan remaja yang lebih berusia mula menunjukkan peningkatan dalam pemikiran kritikal dan mempunyai keupayaan menilai risiko termasuk penipuan, manipulasi emosi dan kandungan mengelirukan.
“Konsep kesediaan digital amat penting, ia merangkumi kefahaman tentang batasan privasi, keupayaan membezakan antara kenalan sebenar dan individu tidak dikenali serta kawalan diri agar remaja tidak bergantung kepada ‘validation’ seperti jumlah ‘like’ atau komen, di samping mampu menerima kritikan dan mengawal impuls (dorongan) dalam penggunaan teknologi,
“Cadangan kerajaan untuk menetapkan had umur penggunaan media sosial kepada 16 tahun dilihat sebagai langkah yang lebih baik berbanding tiada kawalan langsung kerana walaupun umur bukan penentu mutlak kematangan, ia memberi ruang kepada pemantauan serta pendidikan yang lebih berkesan sebelum remaja diberikan akses tanpa had kepada dunia digital,” katanya.
Dr Hijaz berkata algoritma media sosial yang direka untuk mengekalkan perhatian pengguna juga boleh menjadi ‘perangkap’ kepada remaja kerana pendedahan berulang kepada kandungan tidak realistik boleh menjejaskan keyakinan diri dan persepsi terhadap standard kehidupan atau kecantikan masing-masing.
Berdasarkan pengalaman klinikalnya, beliau berkata kebanyakan kanak-kanak yang terlibat dalam kes ‘grooming’ (manipulatif) berdepan dengan trauma jangka panjang, cepat marah, sukar mempercayai orang lain serta menjauhkan diri daripada orang lain kerana perasaan malu, bersalah dan takut sehingga membawa kepada kemurungan.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa pendedahan kepada teknologi masih penting, khususnya pada era perkembangan pesat teknologi masa kini yang menjadi sebahagian daripada keperluan kehidupan harian serta proses pembelajaran termasuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Sementara itu, pakar terapi Applied Behaviour Analysis (ABA) di Fit In Child Development Centre, Shafiq Hamidon berkata pendedahan awal terhadap peranti digital perlu dikawal rapi mengikut peringkat umur bagi memastikan perkembangan kanak-kanak tidak terjejas.
Beliau menyarankan agar kanak-kanak bawah dua tahun dielakkan daripada diberikan peranti untuk membina kemahiran sosial mereka, manakala bagi usia enam tahun ke atas, penggunaan skrin perlu dihadkan kepada satu hingga dua jam sehari serta diseimbangkan dengan aktiviti fizikal dan masa bersama keluarga.
“Isu penggunaan skrin berlebihan dalam kalangan kanak-kanak semakin meruncing apabila ia menyumbang kepada peningkatan masalah tingkah laku ketara, termasuk kesukaran mengawal emosi seperti tantrum (buat perangai) berpanjangan serta mudah marah apabila akses gajet dihadkan.
“Kesilapan utama ibu bapa adalah menggunakan skrin sebagai alat utama untuk menenangkan anak yang sedang mengamuk. Ini mewujudkan kitaran apabila anak-anak belajar bahawa sekiranya mereka buat perangai, mereka akan dihadiahkan dengan skrin,” katanya.
Selain itu beliau berkata fenomena video pendek seperti TikTok dan YouTube Shorts turut menjejaskan tahap fokus kanak-kanak di sekolah, menyebabkan mereka cepat bosan dan sukar mengikuti pembelajaran akibat tabiat ‘scroll’ (menatal) kandungan secara berterusan.
“Menonton video memberikan keseronokan kepada kanak-kanak sebab ada lagu, rentak pantas dan warna-warni. Jadi bila suasana kelas tidak seronok dan hanya ada seorang guru bercakap di hadapan, mereka akan rasa bosan dan tidak boleh ikut pembelajaran itu,” katanya.
Beliau berkata kanak-kanak terbabit juga akan bergelut untuk kekal dalam satu topik perbualan memandangkan mereka tidak berminat untuk berkomunikasi secara dua hala yang panjang dan hanya menjawab pertanyaan dengan jawapan singkat, yang kemudiannya menjejaskan pertuturan mereka.
Sehubungan itu, Shafiq menasihati ibu bapa agar lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak serta mengambil langkah intervensi awal, termasuk mendapatkan khidmat pakar seperti ahli terapi pertuturan, ahli terapi cara kerja atau pakar pediatrik perkembangan bagi penilaian dan sokongan yang bersesuaian.
“Ramai ibu bapa terlepas pandang perkara ini, mereka datang ke hospital hanya untuk dapatkan vaksin anak sahaja. Walhal mereka juga patut buat pemeriksaan dengan doktor pakar perkembangan kanak-kanak supaya dapat buat penilaian sama ada perkembangan anak mereka setara dengan umur,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa ibu bapa perlu mempunyai strategi yang jelas dalam mengurus penggunaan skrin dan tidak bertindak secara mengejut dengan terus mengambil peranti daripada anak kerana ia boleh mencetuskan reaksi memberontak.
“Sebagai contoh, ibu bapa boleh menetapkan masa skrin antara pukul 4 hingga 5 petang dan memaklumkan kepada anak lebih awal. Penggunaan ‘timer’ (pemasa) juga membantu memberi isyarat bahawa masa hampir tamat, sekali gus membolehkan anak bersedia dari segi emosi,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan strategi pengalihan menerusi penyediaan aktiviti alternatif bersesuaian mengikut umur bagi mengisi masa anak tanpa bergantung kepada skrin memandangkan ketiadaan aktiviti yang jelas menyebabkan kanak-kanak cenderung kembali meminta peranti dan menunjukkan tingkah laku negatif.

















Tinggalkan Balasan