JPJ Diarah Laksana Operasi Penguatkuasaan Di LTSIP – Loke

KOTA BHARU, 6 April — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah diarah untuk menjalankan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tindakan itu bagi mengekang kelakuan golongan mat rempit yang seakan menjadikan litar lumba di depan balai pelepasan terminal.

Beliau berkata berita mengenai kejadian itu bukan sahaja menyedihkan tetapi ia sangat memalukan. 

“Saya telah mengarahkan Pengarah Penguat Kuasa JPJ untuk menjalankan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di kawasan tersebut.

“Sesiapa yang berani merempit di depan lapangan terbang akan disita terus motosikal mereka,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Loke berkata kejadian itu tidak sepatutnya berlaku, memandangkan kerajaan Persekutuan telah membelanjakan hampir RM450 juta untuk menaik taraf LTSIP.

Beliau berkata perbelanjaan itu untuk memastikan perhubungan udara yang lebih baik untuk Kelantan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi rakyat, serta menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Kelakuan golongan mat rempit ini di depan balai perlepasan terminal baharu tersebut bukan sahaja membahayakan nyawa orang ramai yang menggunakan lapangan terbang tersebut, malah boleh dikatakan sebagai tindakan sabotaj terhadap keselamatan dan ekonomi negeri.

“Saya juga telah meminta pihak pengurusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk memperketatkan laluan masuk dan keluar ke bangunan terminal untuk membendung gejala ini,” katanya. 

Media sebelum ini melaporkan, balai perlepasan di terminal baharu LTSIP Pengkalan Chepa di sini yang kurang sebulan beroperasi secara penuh, dijadikan litar lumba oleh mat rempit.

Aktiviti terbabit dikatakan berlaku sejak Ramadan lepas sehingga berlarutan pada Jumaat malam apabila ia mulai tular di media sosial selepas dirakam oleh pengguna lapangan terbang berkenaan.