KUALA LUMPUR, 21 April — Malaysia mencapai kapasiti sebanyak 31 peratus tenaga boleh baharu (TBB) terpasang setakat Disember 2025, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kerajaan turut komited untuk mencapai sasaran sebanyak 32 peratus kapasiti TBB terpasang pada tahun ini.
“Kerajaan menyasarkan kenaikan satu peratus kapasiti TBB terpasang pada setiap tahun sehingga mencapai 35 peratus pada 2030 atau lebih awal daripada itu.
“Campuran tenaga terdiri daripada banyak sumber seperti solar, biogas dan biobahan api. Insya-Allah kita akan mencapainya melalui semua program yang kita telah perkenalkan termasuk storan bateri dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu program temu bual eksklusif Bernama Radio bertajuk “Krisis Geopolitik Pacu Peralihan Tenaga Malaysia” di Wisma Bernama hari ini.

















Tinggalkan Balasan