KUCHING, 10 Mei — Kerajaan Negeri Sarawak merancang untuk mengambil alih lebih banyak entiti dan aset strategik kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh ekonomi negeri selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata langkah itu penting dalam memperluas penguasaan ekonomi negeri, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Sarawak, khususnya dalam sektor teknologi dan industri baharu.
Abang Johari berkata dalam tempoh enam tahun lepas, Sarawak telah mengambil alih beberapa aset dan entiti strategik daripada kerajaan pusat antaranya Empangan Bakun, Pelabuhan Bintulu serta MASwings Sdn Bhd.
“Kita (Sarawak) juga mewujudkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), kita ambil alih ekuiti dalam Affin Bank (menjadi pemegang saham terbesar Affin Bank Bhd) dan banyak lagi nak kita ambil alih.
“Kita luaskan ekonomi kita berdasarkan kepada PCDS… ini bermakna peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Abang Johari berkata transformasi ekonomi Sarawak kini sedang bergerak ke arah ekonomi berteknologi tinggi yang memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui, automasi, kecerdasan buatan (AI), digitalisasi serta industri semikonduktor.
Menurutnya, Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir dan profesional dalam pelbagai bidang termasuk aeroangkasa, teknologi digital dan industri cip semikonduktor.
















Tinggalkan Balasan