ALOR SETAR, 10 Mei — Tindakan penguatkuasaan semasa Festival Muzik Air Rain Rave di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini membuktikan keseriusan kerajaan dalam memastikan tahap kebersihan di kawasan tumpuan awam sentiasa terpelihara, terutama sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata sepanjang operasi dijalankan pada 30 April hingga 2 Mei lepas, sebanyak 68 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan terhadap individu yang melakukan kesalahan membuang sampah kecil.
Beliau berkata kesalahan paling banyak dikesan ialah membuang puntung rokok merata-rata walaupun kemudahan tong sampah disediakan di lokasi festival berkenaan.
“Penguatkuasaan ini bukan bertujuan mencari pesalah semata-mata tetapi bagi mendidik masyarakat bahawa kebersihan adalah tanggungjawab bersama.
“Peserta yang dikenakan tindakan kebanyakannya berusia antara 15 hingga 40 tahun dan kebanyakan warga asing yang bekerja di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) Siri Ke-8 di sini hari ini.
Khalid berkata pelaksanaan PKM Siri Ke-8 itu diadakan serentak melibatkan Pahang, Johor dan Melaka dengan keseluruhan 55 pesalah menjalani hukuman antara dua hingga empat jam.
“Di Kedah sahaja 24 pesalah iaitu 22 orang di lokasi program ini dan dua lagi di Pantai Chenang, Langkawi. Pesalah berusia antara 19 hingga 55 tahun termasuk pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya.
Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan pesalah berulang dan tindakan lebih tegas boleh dikenakan termasuk denda maksimum sehingga RM3,000 di bawah undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) selain hukuman di bawah Akta 672 serta PKM hingga 12 jam.
Menurutnya, setakat ini 6,000 individu telah diberikan NPK di tujuh negeri di bawah penguatkuasaan Akta 672 berkaitan kesalahan sampah kecil termasuk 1,653 warga asing.
Khalid berkata sempena TMM 2026, SWCorp bersama pihak berkuasa tempatan akan mempergiat penguatkuasaan di kawasan pelancongan dan lokasi tumpuan awam bagi memastikan tahap kebersihan negara setanding negara maju.
“Kita mahu budaya kebersihan ini menjadi tanggungjawab bersama, bukan hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata,” katanya.

















Tinggalkan Balasan