KUALA LUMPUR, 29 Mei — Bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 hari ini, beberapa pemimpin negeri merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas komitmen dan peranan mereka dalam menyampaikan maklumat tepat, sahih serta berintegriti kepada masyarakat.
Ucapan penghargaan itu didedikasikan kepada seluruh pengamal media terdiri daripada wartawan, jurugambar, jurukamera, editor, kru produksi dan petugas di belakang tabir industri media.
Di PERLIS, Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata kerajaan negeri sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan wartawan yang berperanan menyampaikan maklumat tepat serta terkini kepada masyarakat walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Saya mewakili kerajaan negeri Perlis mengucapkan Selamat Hari Wartawan kepada semua wartawan di seluruh negara yang sentiasa memberi maklumat tepat dan terkini melalui saluran masing-masing.
“Kerajaan negeri Perlis sentiasa menghargai segala jasa dan sumbangan wartawan dalam membantu menyampaikan informasi kepada rakyat,” katanya.
Di PAHANG, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata peranan media amat penting sebagai jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan, selain menjadi suara yang membawa isu, aspirasi serta denyut nadi rakyat.
“Semoga petugas media terus cekal menjalankan amanah demi memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian dan memacu pembangunan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan atas dedikasi, keberanian dan komitmen petugas media dalam menyampaikan maklumat yang sahih, tepat dan berintegriti kepada masyarakat.
Sementara itu di TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kewartawanan berintegriti menjadi semakin penting dalam dunia yang pantas dan dipenuhi lambakan maklumat.
Beliau berkata ketepatan fakta, etika dalam pelaporan serta keberanian mempertahankan kebenaran perlu terus dipelihara demi kepentingan rakyat dan negara.
“Di sebalik setiap berita yang sampai ke tangan rakyat, ada insan yang bekerja tanpa mengira waktu, turun ke lapangan, meneliti fakta dan menyampaikan maklumat dengan penuh tanggungjawab.
“Wartawan bukan sekadar pelapor berita, tetapi antara benteng penting dalam membina masyarakat yang celik maklumat, matang berfikir dan memahami realiti semasa dengan lebih adil serta seimbang,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Sambutan HAWANA diperkenalkan pada 2018 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan wartawan dalam pembangunan negara, manakala tarikh 29 Mei dipilih sempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 1939.
HAWANA 2026 mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” dan majlis kemuncak sambutan pada 20 Jun ini di Pulau Pinang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

















Tinggalkan Balasan