KUALA LUMPUR, 1 Jun — Tradisi kunjung-mengunjung sempena sambutan Hari Gawai atau lebih dikenali sebagai “Ngabang” terus menjadi simbol keunikan dan kekuatan masyarakat Sarawak dalam meraikan kepelbagaian budaya serta memperkukuh semangat kebersamaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata amalan yang sinonim dalam kalangan masyarakat Iban itu bukan sekadar tradisi perayaan, malah menjadi medium penting untuk memupuk nilai saling menghormati dan persaudaraan yang utuh.
“Melalui tradisi inilah hubungan persaudaraan diperkukuh, perbezaan diraikan dan semangat kebersamaan terus disemarakkan.
“Inilah keunikan Sarawak, sebuah bumi yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan tradisi namun sentiasa disatukan oleh nilai saling menghormati, persefahaman dan persaudaraan yang utuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata dalam kepelbagaian itulah lahirnya kekuatan yang menjadikan Sarawak contoh keharmonian dan perpaduan yang membanggakan.
“Semoga semangat Gawai terus menjadi jambatan yang menghubungkan hati, mengeratkan persaudaraan dan memupuk rasa syukur atas nikmat keamanan serta kemakmuran yang kita kecapi bersama. Selamat Hari Gawai Dayak, Gayu Guru Gerai Nyamai,” katanya.
Dalam hantaran sama, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut berkongsi beliau memenuhi undangan Rumah Terbuka Gawai bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta keluarga hari ini.
Majlis diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Alhamdulillah, berkesempatan bertemu dan bertanya khabar rakan-rakan lama serta menikmati suasana Gawai yang penuh kemesraan, kegembiraan dan semangat kekeluargaan.
“Senyuman yang terukir, gelak tawa yang dikongsi serta pertemuan yang berlangsung menjadi cerminan indah keharmonian yang sentiasa menjadi kekuatan negeri ini,” katanya.

















Tinggalkan Balasan